Konsert Millennial Dangdut Nusantara Ditunda, Hasrat Peminat Nak Lihat Inul Goyang Tak Kesampaian

Konsert Millennial Dangdut Nusantara Ditunda, Hasrat Peminat Nak Lihat Inul Goyang Tak Kesampaian

Konsert Millennial Dangdut Nusantara menampilkan ratu goyang Indonesia, Inul Daratista, yang dijadual berlangsung pada 6 Disember ini di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, terpaksa ditunda ke tarikh serta lokasi baharu.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan, pihak penganjur memaklumkan keputusan itu dibuat selepas menilai beberapa aspek penting yang melibatkan kelancaran penganjuran serta pengalaman penonton.

“Pihak kami ingin memaklumkan bahawa Konsert Millenial Dangdut Nusantara – Inul Daratista Live in Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember 2025, di Setia Spice Arena, Pulau Pinang ini ditunda ke satu tarikh lain dan lokasi baharu yang akan diumumkan kelak.

“Keputusan ini dibuat selepas menilai beberapa faktor penting termasuklah pemilihan lokasi, jualan tiket dan keselesaan peminat menjadi keutamaan demi memastikan penganjuran konsert berjalan dengan lancar seterusnya memberikan pengalaman terbaik kepada para peminat.

Mereka turut menegaskan bahawa kebajikan peminat menjadi keutamaan, justeru proses pemulangan wang bagi pembeli tiket dibuka mulai 1 hingga 30 Disember menerusi platform pembelian masing-masing.

Walaupun konsert utama ditangguhkan, penganjur mengesahkan bahawa program Millennial Dangdut Idol Karaoke 2025 akan diteruskan seperti yang dirancang.

Sebelum ini, Inul hadir pada sidang media pengumuman konsert berkenaan dan meluahkan rasa teruja untuk kembali beraksi di Malaysia selepas hampir 20 tahun tidak membuat persembahan berskala besar di sini.

Pelantun lagu Arjuna Buaya itu juga berkongsi pentas dengan Amelina serta Baby Shima dalam konsert anjuran Fajar Baiduri Empire dengan sokongan Istana Budaya melalui Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Kali terakhir Inul mengadakan konsert mega di Malaysia ialah pada 2007 menerusi Konsert Rentaq Serantau di Stadium Malawati, Shah Alam selepas Konsert Fenomena Dangdut di Stadium Merdeka (2005) serta persembahan di Genting Highlands (2006).

Related post

Leave a Reply