Banjir Hatyai, Shahrol Shiro Lega Isteri Akhirnya Dapat Pulang Ke Malaysia
Pelawak, Shahrol Shiro, 41, akhirnya menarik nafas lega apabila isteri dan anaknya yang terkandas di Hatyai, Thailand susulan banjir sejak beberapa hari lalu, selamat tiba di sempadan negara pada Ahad.
Pemilik nama lengkap Shahrol Azizie Azmi, berkata, isterinya, Nor Farhanah Syamimi bersama anak mereka, Iskandar Rizqi, berdepan detik cemas apabila beberapa laluan di bandar tersebut ditutup berikutan hujan lebat dan paras air yang meningkat.
“Alhamdulillah isteri dan anak selamat keluar dari sana dan sampai ke sempadan hari ini. Mereka terpaksa beberapa kali pusing baru jumpa jalan yang boleh dilalui,” katanya dalam satu temu bual.
Sebelum ini, Shahrol berkongsi rasa bimbang di Instagram selepas menerima maklumat bahawa keadaan banjir di Hatyai semakin meruncing sehingga laluan utama menuju ke lapangan terbang turut ditutup.
“Dapat khabar daripada isteri saya yang sedang bercuti di Hatyai. Hujan makin lebat, banyak tempat banjir dan jalan ditutup. Nak ke airport pun dah tak boleh,” kongsinya dalam sebuah hantaran.
Ketika kejadian, Shahrol berada di Sabah atas urusan kerja, sekali gus menambahkan rasa gelisah memikirkan keselamatan isteri, anak serta keluarga adik iparnya yang turut berada di sana.
“Hati seorang suami memang risau memandangkan isteri bersama anak kami dan keluarga adiknya. Saya hanya mampu doa dan berharap semua yang terlibat dalam banjir dipermudahkan urusan. Terima kasih kepada sahabat yang membantu,” katanya lagi.
Shahrol turut memohon doa orang ramai agar keadaan banjir di Hatyai kembali pulih selain menzahirkan penghargaan atas bantuan yang memungkinkan keluarganya keluar dari kawasan terjejas.
Keluarga tersebut kini berada dalam keadaan baik selepas berjaya melepasi kawasan terjejas dan tiba di sempadan Malaysia.
