“Setiap Pagi Saya Bangun Dengan Rasa Yang Sama, Ingin Terus Berkarya” – Ajai
Dinobatkan sebagai penerima Men Evolution Award 2025 oleh sebuah majalah gaya hidup ternama, penyanyi dan komposer, Ajai, 50, meluahkan rasa syukur dan terharu.
Pemilik nama sebenar Mohamad Faizal Maas, berkata, penganugerahan itu hadir sebagai suntikan semangat buatnya yang masih setia berkarya sejak era remajanya.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Pengiktirafan ini bukan sekadar trofi, tetapi tanda bahawa usaha saya selama lebih tiga dekad dalam industri seni masih dihargai.
“Setiap pagi saya bangun dengan rasa yang sama, ingin terus berkarya dan memberikan yang terbaik,” katanya dalam sebuah hantaran.
Tambah Ajai, dia mengakui dirinya tidak pernah jemu berada dalam industri yang sentiasa berevolusi dan menerima wajah-wajah baharu saban tahun.
“Seni ini dunia yang sentiasa hidup. Saya bersyukur kerana dikelilingi keluarga, rakan-rakan serta kenalan baharu yang menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan ini. Mereka antara sebab saya terus kuat,” ujarnya.
Sebagai salah seorang anggota kumpulan Exists yang masih aktif dalam dunia muzik, Ajai berkata kejayaan dan keindahan perjalanan seninya tidak akan lengkap tanpa sokongan ramai pihak, daripada peminat hinggalah rakan seperjuangan.
“Selagi kita saling menyokong, selagi itu industri ini akan terus berkembang. Saya berharap hubungan silaturahim ini dapat terus diperkukuhkan,” tambahnya.
