Telan Kos RM20 Juta, Filem ‘A Mighty Adventure’ Sedia Gegar Dunia Animasi 2026
Industri animasi tempatan sekali lagi melangkah berani apabila sebuah projek berskala mega bernilai RM20 juta diumumkan bakal menemui penonton seluruh dunia pada suku pertama 2026 menerusi filem A Mighty Adventure.
Naskhah ini bukan sekadar karya animasi biasa, sebaliknya dijangka menjadi antara produksi paling mahal dan paling ambisius pernah dihasilkan oleh Malaysia bersama rakan antarabangsa.
Diterajui oleh pengarah tersohor Hong Kong, Toe Yuen seorang figura di sebalik karya menyentuh hati seperti My Life as McDull dan CJ7: The Cartoon.
Filem ini mempertaruhkan pendekatan unik tanpa sebarang dialog. Segala emosi dan penceritaan disampaikan sepenuhnya melalui visual, pergerakan dan bahasa badan, menjadikannya sebuah naskhah yang benar-benar bersifat sejagat.
Menggabungkan pasukan kreatif dari beberapa negara, projek ini melibatkan Fly Studio (Malaysia), Zero One Film (Taiwan), ACE Integrated, Anima Vitae (Malaysia/Finland), Roundbox (Indonesia) dan CES Image (Taiwan).
Sokongan penuh daripada MDEC dan FINAS turut memperkukuh matlamat menjadikan filem ini mencapai standard antarabangsa.
Dengan kos produksi mencecah RM20 juta, filem ini meletakkan harapan tinggi untuk membawa nama industri animasi tempatan ke pentas global.
A Mighty Adventure mengangkat kisah tiga makhluk kecil yang berjiwa besar iaitu Mini si belalang, Sipidier si labah-labah dan Butty si rama-rama.
Kehidupan mereka berubah selepas terperangkap di puncak sebuah bangunan pencakar langit dalam hiruk-pikuk kota.
Misi mencari jalan pulang akhirnya membawa mereka melalui pelbagai cabaran, menonjolkan tema keberanian, persahabatan dan harapan.
Pendekatan tanpa dialog dipilih bagi memastikan filem ini dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa batasan bahasa atau budaya.
Toe Yuen membawa kepakarannya dalam memadukan animasi CG yang halus bersama teknik sinematografi aksi sebenar (live-action), menjadikan visual filem ini kelihatan lebih sinematik dan realistik.
Kualiti produksi yang cemerlang ini turut mendapat pengiktirafan awal apabila A Mighty Adventure menerima tiga pencalonan Golden Horse 2026 menerusi kategori Filem Animasi Terbaik, Reka Bentuk Bunyi Terbaik dan Kesan Visual Terbaik.
Menurut penerbit merangkap pengasas Fly Studio, Wee Meng Hee, kekuatan filem ini bukan terletak pada bajet atau kecanggihan teknikal, tetapi pada keikhlasan penceritaan dan jiwa yang ingin disampaikan.
Ketika ini, proses animasi dilaporkan sudah 95 peratus siap dan pasukan produksi sedang memberi tumpuan kepada fasa akhir reka bentuk bunyi.
