Gagal Nyanyi Negaraku, Wanita India Kantoi Menyamar Sebagai Rakyat Malaysia
Seorang wanita dari India menyangkakan yang dia mampu memperdaya pegawai Jabatan Imigresen, tetapi helahnya terbongkar dengan apabila dia gagal melakukan satu tugas mudah iaitu menyanyikan lagu Negaraku.
Menurut laporan Sin Chew Daily, kejadian itu berlaku dalam operasi Ops Sapu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Selangor baru-baru ini.
Ketika ditahan pegawai, wanita tersebut cuba mengelak dengan mendakwa dia adalah rakyat Malaysia. Namun apabila diminta menyanyikan rangkap pertama Negaraku, tiada sepatah kata keluar daripada mulutnya.
Menyedari dirinya telah kantoi, wanita itu panik dan menangis sambil merayu kepada pegawai supaya melepaskannya.
Akhbar berbahasa Cina itu turut melaporkan bahawa beberapa pekerja asing tanpa izin cuba melarikan diri, termasuk seorang lelaki yang terjun dari tingkap tingkat satu namun akhirnya berjaya ditangkap.
Ada juga yang cuba bersembunyi dalam bilik air, memadamkan lampu rumah, atau melarikan diri melalui tangga kecemasan untuk mengelakkan pemeriksaan.
Dalam operasi tersebut, pegawai turut menemui sebuah unit sewa yang telah dijadikan tempat untuk pekerja asing tanpa izin mengambil dadah dan ia diuruskan oleh dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Malaysia.
Lelaki tersebut cuba memusnahkan bahan yang dipercayai dadah apabila terlihat pegawai yang datang, tetapi dia ditangkap serta-merta.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Selangor, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 285 warga asing diperiksa dalam operasi yang dijalankan di Pangsapuri Pendamar B, Pelabuhan Klang itu.
Daripada jumlah berkenaan, 95 ditahan atas kesalahan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Mereka yang ditahan termasuk warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal.
Semua mereka dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tahanan reman dan siasatan lanjut.
