Namewee Akui Kerjaya Terhenti Sepenuhnya, Mohon Kerja Sementara Tunggu Prosiding Undang-Undang
Artis kontroversi, Namewee, mendedahkan prosiding undang-undang yang sedang berlangsung mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi untuk diselesaikan, menyebabkan kerjayanya dalam bidang seni terhenti sepenuhnya.
Dalam satu kemas kini panjang yang dikongsi secara dalam talian, dia berkata hampir semua projek yang telah dijadualkan telah dibatalkan sehingga hujung tahun depan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan utamanya.
Disebabkan itu, Namewee secara terbuka memohon peluang pekerjaan, menyatakan bahawa dia sanggup melakukan kerja-kerja di belakang tabir dan fleksibel tentang soal bayaran.
Dia turut menceriakan keadaan dengan bergurau yang dia bersedia melakukan kerja-kerja biasa seperti menggoreng chicken chop, memasak nasi goreng, kari dan menyental periuk hangus serta memasang jeriji tingkap.
Jika ada perkara yang dia tidak tahu, Namewee berkata, dia sanggup belajar asalkan boleh menjana pendapatan sementara kesnya masih berlarutan.
Dalam masa sama, Namewee mendedahkan yang lagu Tahun Baru Cina bertemakan Tahun Naga yang telah siap mungkin tidak dapat diterbitkan selepas penaja asal menarik diri disebabkan situasi semasa.
Namewee kini mencari penaja baharu, menjanjikan jingle iklan khas dan memberi jaminan lagu tersebut tidak mengandungi sebarang kata-kata kesat.
Disebabkan siasatan masih berjalan dan tarikh mahkamah mungkin beberapa bulan lagi, Namewee berkata, dia hanya cuba bekerja dan meneruskan hidup sebaik mungkin.
Penahanan Namewee berlaku sekitar waktu yang sama ketika influencer Taiwan, Iris Hsieh, ditemui meninggal dunia di sebuah hotel di Jalan Conlay bulan lalu.
Walaupun kesnya kemudian diklasifikasikan semula sebagai pembunuhan di bawah Seksyen 302, polis telah mengesahkan bahawa Namewee tidak mempunyai kaitan dengan kematian Hsieh.
Artis berusia 42 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada 13 November selepas pihak berkuasa tidak menemui bukti yang mengaitkannya dengan kematian Hsieh.
Namun, beliau masih berdepan pertuduhan berasingan berkaitan penggunaan dan pemilikan dadah. Sebutan semula kesnya bagi kesalahan dadah dijadualkan pada 18 Disember.
