Gurau Fasal Belum Kahwin, Shery Al Hadad Tak Kecil Hati Dengan Nabil Ahmad
Pelakon dan pengacara, Sherry Al Hadad menegaskan dirinya tidak pernah berkecil hati dengan gurauan rakan pengacaranya, Nabil Ahmad, ketika mereka mengendalikan program Gegar Vaganza (GV) dua minggu lalu.
Menurut Sherry, ekspresi wajahnya yang kelihatan seperti ‘terkesan’ ketika siaran langsung itu sebenarnya hanyalah sebahagian daripada persembahan mereka di pentas.
“Kadang-kadang reaksi muka itu muncul sebab bila kita mengacarakan program bersama, ia menjadi sebahagian daripada gurauan. Semua itu adalah lakonan dalam pengacaraan,” jelasnya dalam sebuah temu bual.
Jelas Sherry lagi, latar belakangnya sebagai graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta penglibatan dalam dunia teater membuatkan ekspresi wajahnya sering kelihatan besar dan dramatik.
“Saya budak Aswara, budak teater. Jadi reaction muka saya memang kadang-kadang besar, berlebihan. Bila atas pentas, kita kena bagi energi yang sangat besar,” katanya lagi.
Sherry turut menegaskan apa yang berlaku hanyalah sebahagian daripada pengisian rancangan dan tidak wajar dianggap serius oleh penonton.
“Semua itu memang untuk hiburan. Jadi saya tak berkecil hati,” katanya ringkas.
Terdahulu, Nabil menerima kritikan warganet selepas potongan klip ketika mengendalikan program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) tular di media sosial.
Dalam klip tersebut, Nabil bergurau dengan menyebut Sherry “tiada rumah tangga”, menyebabkan ada pengguna Threads meluahkan rasa kurang selesa dan menyifatkan gurauan itu tidak sensitif.
