Jaja Ishak Terima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA Madani
Selepas bergelumang sekian lama dalam dunia produksi, Jaja Ishak Channel Sdn Bhd (JIC) akhirnya menerima satu lagi pencapaian manis apabila syarikat itu diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024-2025 pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) baru-baru ini.
Pengasasnya, Jaja Ishak, mengakui pengiktirafan itu sangat bermakna kerana ia diberikan kepada usahawan yang aktif membuat sumbangan melalui Wakaf MARA Madani.
“Ini kategori baharu dalam AURA dan saya sangat bersyukur. Sepuluh tahun bukan tempoh yang singkat dan banyak cabaran yang saya kena lalui untuk sampai ke tahap ini.
“Berada di dalam dunia penerbitan dan bisnes bukan satu hal yang mudah. Banyak onak dan duri telah saya lalui untuk sampai ke tahap ini,” katanya mengimbau kembali perjalanan yang telah dilalui.
Menurut Jaja, keaktifannya memberi sumbangan bukanlah untuk meraih perhatian, sebaliknya datang daripada tekad untuk berkongsi rezeki lebih-lebih lagi apabila MARA sendiri banyak menyokong perkembangan syarikatnya sejak awal.
Katanya lagi, nasihat kedua ibu bapanya yang membesar sebagai peneroka kelapa sawit turut menjadi pendorong untuk sentiasa membantu mereka yang memerlukan.
“Saya datang daripada keluarga sederhana. Pernah juga saya dan keluarga kutip buah sawit relai, angkat pelepah dan semua itu demi menampung perbelanjaan untuk saya sambung belajar dulu,” ujarnya.

Berkenaan jumlah sumbangan menerusi Wakaf MARA Madani, Jaja memilih untuk tidak mendedahkan angka. Baginya, yang penting ialah konsisten memberi.
“Kalau untung banyak, saya beri lebih. Kalau sikit, saya tetap beri walaupun sedikit. Pesan ibu ayah saya, bukan jumlah yang penting, tapi hati dan istiqamah,” katanya lagi.
Untuk rekod, JIC merupakan antara 24 usahawan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang menerima pengiktirafan AURA di peringkat negeri.
Program AURA mempertandingkan 12 kategori termasuk Tokoh Usahawan MARA, Jenama Terbaik, Usahawan Aspirasi Wanita dan Program Khas Usahawan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang yang berlangsung Rabu lalu.
