Ajak Shiro Jawab Isu Harga Sambal Udang Petai RM9.90

Ajak Shiro Jawab Isu Harga Sambal Udang Petai RM9.90

Satu hantaran di media sosial tular baru-baru ini apabila seorang pelanggan berkongsi gambar lauk sambal udang petai dari restoran Bumbu Babah, milik pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro.

Dalam hantaran tersebut, pengguna berkenaan menanda akaun Ajak dan menulis secara berseloroh:

“@ajakshiro betul ke sambal udang petai kau dengan empat ekor udang ni RM9.90? Mahal gila. Otak aku beku tengok udang ni hahaha. Comel juga sebenarnya,” tulis hantaran itu.

Perkongsian tersebut, yang disertakan gambar lauk serta resit menunjukkan harga RM9.90, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang menganggap harganya terlalu tinggi, manakala ada juga yang mempertahankan restoran tersebut dengan alasan kos bahan mentah yang semakin meningkat.

Memetik laporan Gempak, Ajak berkata, dia terbuka menerima semua jenis maklum balas daripada pelanggan, termasuk kritikan.

“Kalau kata mahal, nasi padang saya bermula dari RM5 saja. Untuk lauk tambahan, yang paling mahal pun dalam RM7. Ada juga yang RM4 atau RM5. Sambal udang tu mahal sikit sebab ada petai, dan petai pun memang mahal,” ulasnya.

Ajak menambah, pelanggan yang mendaftar sebagai ahli boleh menikmati harga yang lebih berpatutan di restorannya.

Pelawak itu, yang mula menceburi bidang perniagaan makanan setahun lalu berkata, pengalaman menguruskan Bumbu Babah telah membuka matanya tentang hubungan antara peniaga dan pelanggan.

“Tak apa kalau nak mengadu. Ada juga pelanggan yang terus mengadu kepada saya.

“Pernah seorang cakap daging dendeng saya keras macam dinding. Dia pakai gigi palsu, jadi saya cadangkan cuba daging basah yang lebih lembut,” katanya.

Ajak menegaskan dia tidak pernah terasa hati dengan kritikan kerana menganggapnya sebagai peluang untuk memperbaiki mutu perkhidmatan.

“Bagi saya, aduan itu perkara biasa. Saya hargai sebab itu tanda orang ambil peduli. Bila ada yang beri maklum balas, saya akan ambil tindakan untuk perbaiki,” katanya lagi.

Related post

Leave a Reply