Lima Karya Hebat Guangdong Warnai Chinese Film Week Di Malaysia

Lima Karya Hebat Guangdong Warnai Chinese Film Week Di Malaysia

Guangdong in Frames, Souls in Resonance — Chinese Film Week membuka tirainya secara rasmi pada 12 November di GSC MyTOWN, Kuala Lumpur menandakan hentian rasmi program ini di Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah Asia Tenggara.

Acara ini diadakan bagi memperkenalkan keindahan sinema moden China kepada penonton tempatan melalui lima filem pilihan dari wilayah Guangdong yang menonjolkan kreativiti, nilai seni dan semangat kemanusiaan.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh wakil Guangdong Film & Television Service Platform, Guangzhou Film Association dan Beyond Frozen Films, bersama-sama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), rakan rasmi Malaysia Blackflag Sdn. Bhd., serta GSC International Screens sebagai rakan pawagam rasmi.

Turut hadir ialah wakil komuniti seni, penggiat filem dan institusi budaya Malaysia yang bersama-sama meraikan hubungan budaya yang semakin erat antara Malaysia dan Guangdong.

Pengarah Guangdong Film & Television Service Platform merangkap Presiden dan Setiausaha Agung Guangzhou Film Association, Zhao Meng Fei, menzahirkan rasa terima kasih atas sambutan hangat rakyat Malaysia terhadap program tersebut.

“Filem ialah bahasa sejagat yang mampu menembusi sempadan dan menyatukan hati manusia. China dan Malaysia berkongsi akar budaya yang mendalam daripada dialek Kantonis hingga ke tradisi minum teh.

“Lima filem yang dipersembahkan ini mencerminkan kasih terhadap kehidupan dan kemanusiaan masyarakat Lingnan. Melalui cahaya dan bayang. Kami berharap hubungan budaya dan persahabatan antara dua rantau ini akan terus subur,” katanya.

Guangdong in Frames, Souls in Resonance — Chinese Film Week dilancarkan secara rasmi pada Rabu.

Zhao turut berkongsi mengenai penganjuran Guangzhou Film Expo 2025 yang bakal berlangsung pada Disember depan di Guangzhou.

Expo berkenaan akan memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama industri dengan memberi tumpuan kepada pasaran, penonton serta pengantarabangsaan, selaras dengan aspirasi China untuk membangunkan industri filem yang berpengaruh di peringkat global.

Majlis perasmian diteruskan dengan tayangan perdana filem The Sun Rises on Us All arahan Cai Shangjun. Filem tersebut mencipta sejarah apabila menjadi karya pertama dari Guangdong yang terpilih ke dalam Pertandingan Utama Festival Filem Venice 2025.

Lakonan cemerlang pelakon utamanya, Xin Zhilei, turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Volpi Cup for Best Actress di festival berprestij itu.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran pengarah Huo Meng yang tampil berkongsi pengalaman dan pandangan bersama penonton tempatan mengenai filem arahannya, Crossing the Border – Zhaoguan.

Pelbagai keistimewaan filem yang ditayangkan bakal menarik perhatian peminat sinema tempatan.

Minggu Filem China yang berlangsung dari 12 hingga 16 November 2025 ini menampilkan lima karya istimewa yang mewakili kepelbagaian gaya dan tema sinema Guangdong.

Antara karya tersebut termasuk The Sun Rises on Us All yang memukau penonton di Festival Filem Venice, Crossing the Border – Zhaoguan yang menggambarkan kisah berjiwa kemanusiaan dan White Snake yang diinspirasikan daripada opera Kantonis klasik dengan pendekatan moden.

Selain itu, filem Back to Love yang mengetengahkan kisah keluarga Teochew dalam suasana kontemporari serta Fall Into the Mortal World, sebuah animasi Kantonis yang dipuji kerana keaslian dan keindahan visualnya.

Kesemua tayangan eksklusif ini boleh ditonton di GSC MyTOWN, Kuala Lumpur, dan tiket boleh dibeli melalui kiosk GSC, laman web rasmi gsc.com.my atau Aplikasi Mudah Alih GSC.

Related post

Leave a Reply