Unik! Pelancong Rusia Puji Sifat Rakyat Malaysia Yang Suka Berborak

Unik! Pelancong Rusia Puji Sifat Rakyat Malaysia Yang Suka Berborak

Selain terkenal dengan makanan yang enak, satu lagi hal yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia ialah kebolehan berbual dengan sesiapa sahaja.

Pemandu teksi, mak cik di kopitiam atau orang asing yang sedang beratur, semua boleh jadi teman sembang. Bermula dengan satu sapaan ringkas, ia boleh berlanjutan hingga ke topik-topik lain.

Hal ini disedari oleh seorang pelancong dari Rusia.

Dalam video dikongsikan oleh pengguna TikTok @zhurchika, dia memaparkan dua pengalaman menaiki teksi yang sangat berbeza iaitu di Hong Kong dan di Malaysia.

Dalam bahagian pertama video, dia dilihat duduk senyap di dalam teksi di Hong Kong, hanya memandang ke luar tingkap. Apabila dia cuba memulakan perbualan dengan pemandu, suasana menjadi janggal dan senyap.

Namun, apabila babak bertukar ke perjalanan teksi di Malaysia, suasananya berubah sepenuhnya.

Pelancong ini menyatakan lebih gembira menaiki teksi di Malaysia berbanding Hong Kong.

Pelancong itu kelihatan ceria dan selesa berbual panjang dengan pemandu teksi, sambil merakam video dan ketawa sepanjang perjalanan.

“Inilah yang anda boleh jangka apabila melancong ke Malaysia. Bercakap hampir dianggap sebagai satu sukan di sini,” tulisnya dalam kapsyen.

Pengguna TikTok tempatan segera membanjiri ruangan komen, bersetuju dengan pemerhatiannya dan mengusik diri sendiri tentang betapa ramahnya orang Malaysia.

Antara komen netizen:

“Hati-hati waktu makan tengah hari, nanti dia ajak makan sekali.”

“Saya belajar banyak benda dari pemandu Grab di Malaysia, dari ekonomi dunia, peluang bisnes, budaya, kereta, sampai kisah peribadi mereka.”

Related post

Leave a Reply