Ibu Hafiz Suip Meninggal Dunia
Ibu kepada penyanyi, Hafiz Suip iaitu Halizawati Salleh telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 di sebuah pusat perubatan di Kuching, Sarawak, malam Isnin.
Berita sedih itu dikongsikan sendiri oleh Hafiz, 34, menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
“Innalillahiwainnailaihirojiun… Hilangnya doa seorang ibu,” tulisnya dalam nada sayu.
Difahamkan, Allahyarhamah meninggal dunia sekitar jam 9.40 malam di Hospital Umum Kuching selepas beberapa hari menerima rawatan akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Arwah sudah lama menghidap diabetes kronik sehingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong ke paras lutut sebelum ini.
Keadaan kesihatannya yang semakin merosot turut menjadi antara sebab Hafiz mengambil keputusan untuk kembali menetap di Kuching demi menjaga kedua ibu bapanya yang uzur.
Pemergian ibu tersayang itu nyata meninggalkan kesan mendalam buat juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu.
Di ruang komen hantaran Hafiz, ramai peminat dan rakan artis tampil mengucapkan takziah serta mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
