Tempoh Reman Namewee Disambung 3 Hari Lagi
Tempoh reman rapper kontroversi, Namewee telah disambung selama tiga hari lagi selepas pihak polis membuat permohonan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Sehubungan dengan itu, Namewee akan terus berada dalam tahanan reman sehingga Khamis (13 November) selepas tempoh reman enam hari terdahulunya tamat hari ini.
Peguamnya mengesahkan perkara itu ketika ditemui oleh media di luar IPD Dang Wangi, sambil menjelaskan bahawa polis memohon lanjutan reman kerana siasatan masih belum selesai.
“Kami berharap siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin dan anak guam saya dapat dibebaskan,” katanya, sambil menambah bahawa lanjutan reman itu merupakan prosedur biasa dan bukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan, lapor China Press.

Namewee terkait dengan kes kematian influencer Taiwan, Iris Hsieh,lebih dikenali sebagai Nurse Goddess, yang ditemui mati di sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur bulan lalu.
Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut (SDR), namun menukarnya kepada kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun jika sabit kesalahan.
Namewee sebelum ini telah ditahan dan didakwa atas tuduhan penggunaan serta pemilikan dadah, namun dibebaskan dengan jaminan selepas mengaku tidak bersalah.
Bagaimanapun, waran tangkap telah dikeluarkan selepas polis gagal mengesannya bagi membantu siasatan berhubung kematian Hsieh.
Akhirnya, Namewee menyerah diri di balai polis di Johor Bahru, menafikan dakwaan bahawa beliau melarikan diri dan menegaskan bahawa dia hadir secara sukarela untuk memberi kerjasama kepada polis.
Sumber & foto: China Press
