Redza Rosli & Bella Hanna Bakal Timang Anak Lelaki
Dua tahun melayari bahtera rumah tangga, pasangan selebriti Redza Rosli dan Bella Hanna mengumumkan bakal menimang cahaya mata sulung mereka dalam masa terdekat.
Berita menggembirakan itu dikongsikan pasangan berkenaan menerusi satu hantaran istimewa di Instagram.
“Sangat bersyukur dengan nyawa yang sedang membesar dalam kandungan saya.
“Dah lama saya impikan momen ini dan kini impian menjadi nyata. Tak sabar untuk bertemu bayi ini tidak lama lagi,” tulis Bella sambil menyertakan emoji bayi lelaki.
Terdahulu telah berlangsung majlis pengumuman jantina bayi atau ‘gender reveal’.
Majlis yang diadakan berkonsepkan acara taman itu kelihatan indah dengan dekorasi rona putih dan coklat cair sebagai tema utama.
Redza dan Bella pula mengenakan busana senada, menyerlahkan lagi keanggunan suasana penuh kasih.
Acara intim itu turut dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat.
Detik paling dinanti apabila semburan asap berwarna biru dilepaskan, tanda pasangan ini bakal menimang anak lelaki.
Sekadar info, Redza, 33, dan Bella, 29, mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024.
Kedua-duanya pernah bergandingan dalam drama Luruhnya Bunga Cinta musim pertama yang bersiaran di slot Akasia TV3 pada tahun 2023.
