Fasha Sandha Nafi ‘Dingin’ Dengan Fazura

Fasha Sandha Nafi ‘Dingin’ Dengan Fazura

Pelakon Fasha Sandha menegaskan hubungan persahabatannya dengan Nur Fazura masih baik, sekali gus menafikan dakwaan kononnya mereka sudah tidak lagi berkawan.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, mereka masih saling mengikuti di media sosial, malah tidak pernah berselisih faham seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya masih sahabat dia dan kami masih mengikuti antara satu sama lain di media sosial.

“Pada pandangan saya, kedua-dua Fazura dan Fattah Amin sudah pun move on dengan kehidupan masing-masing.

“Cuma mungkin ada peminat yang terlalu emosi dan belum dapat melupakan kisah lama mereka,” jelasnya.

Fasha turut menasihati semua pihak supaya berhenti membuat andaian dan sebaliknya mendoakan yang baik-baik untuk keluarga Fazura dan Fattah.

“Doakan yang baik-baik sahaja untuk keluarga mereka. Fazura tetap ibu kepada Fatimah dan Fatimah akan menjadi kakak kepada anak Fattah dan Amira. Mereka satu keluarga,” katanya.

Tambah Fasha, dia turut mengakui sudah lama tidak berjumpa Fazura, namun percaya jika mereka bertemu semula, hubungan tetap akan baik seperti dahulu.

“Saya dah lama tak jumpa Fazura, tapi kalau kami bertemu di mana-mana majlis, kami akan baik-baik saja.

“Saya belum jumpa masa sesuai untuk berbual tentang hal ini dengannya. Saya lebih selesa bersemuka daripada berbicara melalui telefon,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fasha turut berkongsi nasihat daripada suaminya, Aidil Aziz, yang sentiasa mengingatkannya agar kekal bersikap neutral dan berbuat baik dengan semua orang.

“Saya pun nak hidup harmoni dan berbaik dengan semua orang. Aidil selalu pesan supaya jangan menyebelahi mana-mana pihak. Hidup akan lebih tenang bila kita bersangka baik,” tambahnya.

Terdahulu, timbul dakwaan kononnya Fasha tidak lagi mengikuti akaun Instagram milik Fazura selepas perkara itu disedari seorang pengguna di aplikasi Threads, sekaligus mencetuskan spekulasi hubungan dingin antara mereka.

Namun, Fasha sebelum ini sudah pun menjelaskan perkara tersebut menerusi siaran langsung di Instagram miliknya dan menafikan khabar angin berkenaan.

Related post

Leave a Reply