‘Jangan aniaya orang yang kita sayang’ – Siti Nordiana Titip Pesanan

‘Jangan aniaya orang yang kita sayang’ – Siti Nordiana Titip Pesanan

Dua tahun merancang dan menyimpan impian untuk menghasilkan lagu irama Malaysia, akhirnya penyanyi Siti Nordiana mampu tersenyum lebar tatkala impiannya terlaksana menerusi lagu terbaharunya, Ahai.

Dengan hasrat mahu mengembalikan dan mempopularkan semula nostalgia lama etnik kreatif, wanita yang mesra disapa dengan panggilan Nana ini gembira apabila lagu berkenaan diterima baik oleh peminat.

“Sudah lama sebenarnya saya berniat nak keluarkan lagu Irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu. 

“Jadi, selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya terlaksana juga bila saya kongsi hasrat itu dengan Ikhwan dan Wan Saleh,” katanya.

Nana berkata, lagu Ahai mula dirancang sejak awal tahun dan melalui beberapa sesi rakaman sebelum dimuktamadkan. 

Menurutnya, kolaborasi bersama dua komposer berpengalaman itu sangat serasi dan menghasilkan sesuatu yang benar-benar menepati cita rasanya.

“Saya memang puas hati dengan duo hebat ni. Apa yang saya mahu mereka berikan. Ahai memang jiwa saya sebab ada bunyi kompang, gendang dan elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar dulu tapi dalam gaya moden. Lenggok vokal pun hasil perbincangan kami bertiga,” katanya.

Menurut Nana lagi, Ahai bukan sekadar karya hiburan, tetapi satu usaha kecil untuk memartabatkan semula muzik Irama Malaysia agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.

“Irama Malaysia ini memang jiwa saya dari dulu lagi. Saya membesar dengan lagu-lagu genre ini termasuk menyertai pertandingan bintang asli sejak kecil. 

“Malah, dulu saya pernah keluarkan album Irama Malaysia berjudul Firuz pada 2003. Jadi, apabila peminat pun sering minta saya nyanyi lagu Irama Malaysia masa ‘show’, saya berasa inilah masa yang sesuai untuk kembalikan genre ini dengan pendekatan lebih segar,” katanya.

Nana bersama sebahagian peminat ketika pelancaran Ahai yang diadakan di Bukit Bintang baru-baru ini.

Dari segi konsep dan melodi, Ahai tampil berbeza dengan lagu-lagu Siti Nordiana sebelum ini yang lebih menjurus kepada pop balada atau pop rock. 

Kali ini, Ahai dibina dengan bunyi tradisional seperti gendang dan kompang, menjadikan iramanya lebih ‘asli’ namun tetap mudah diterima pendengar masa kini.

Dalam pada itu, Nana berkata, rakaman lagu Ahai juga memberi cabaran tersendiri buat dirinya dari segi kawalan emosi, penghayatan dan karakter vokal.

“Lagu ni bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Jadi, saya kena  main dengan emosi yang mana ada masa kena lembut, tegas, tapi dalam nada gurau senda. 

“Rentaknya pun laju, jadi kena seimbang antara tenaga dan kelembutan,” katanya.

Selain melodi dan vokal yang memikat, Ahai membawa mesej yang cukup bermakna iaitu nasihat, kasih sayang dan tanggungjawab dalam rumah tangga.

“Lirik lagu ini sangat indah dan bermanfaat. Ia mengingatkan kita supaya menjaga diri, niat perkahwinan dan berbuat baik kepada pasangan. 

“Jangan sesekali aniaya orang yang kita sayang sebab setiap perbuatan ada balasannya. Lagu ini boleh dijadikan panduan hidup, bukan sekadar hiburan,” katanya.

Bersempena pelancaran lagu ini, Nana turut melancarkan video muzik rasmi Ahai yang akan ditayangkan mulai 7 November lalu di saluran YouTube 1711 Music. 

Istimewanya, muzik video tersebut turut menampilkan Siti Nordiana FC sebagai artis undangan, menambahkan lagi kemeriahan visual karya ini.

Related post

Leave a Reply