Fantagio Mohon Maaf Peminat Salah Dail Nombor Cha Eunwoo

Fantagio Mohon Maaf Peminat Salah Dail Nombor Cha Eunwoo

Penyanyi dan pelakon Cha Eunwoo, mencuri perhatian umum apabila mendedahkan nombor telefonnya kepada peminat baru-baru ini.

Merupakan sebahagian daripada rangka promosi album terbaharunya, ELSE, akaun X rasmi anggota kumpulan ASTRO itu memuat naik sepotong mesej berbunyi: “Telefon sekarang, sebelum bunyi ini hilang.”

Mesej itu disertakan dengan satu nombor telefon.

Apabila peminat menghubungi nombor tersebut, mereka dapat mendengar rakaman mesej suara Eunwoo yang menyapa mereka dengan nada mesra.

Gimik tersebut amat menyentuh hati peminat memandangkan Eunwoo kini sedang menjalani latihan ketenteraan.

Difahamkan, idea tersebut direka sendiri oleh Eunwoo sebagai hadiah istimewa untuk menghiburkan peminat sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Namun, pada 5 November, agensinya Fantagio terpaksa mengeluarkan kenyataan permohonan maaf selepas terdapat laporan yang mendakwa ramai peminat tersalah dail nombor tersebut, menyebabkan orang awam yang tidak berkaitan menerima panggilan.

“Nombor rasmi untuk kandungan suara ARS Cha Eunwoo ialah 070-8919-0330 dan hanya nombor ini yang disambungkan kepada acara tersebut. Baru-baru ini, sesetengah pengguna tersilap memasukkan nombor, menyebabkan panggilan dihantar ke nombor lain.

“Sila pastikan nombor dimasukkan dengan betul. Kami memohon maaf kepada mereka yang terjejas akibat perkara ini,” kongsi Fantagio.

Disebabkan jumlah panggilan salah nombor semakin meningkat, Fantagio sekali lagi menegaskan supaya hanya nombor rasmi acara digunakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau gangguan kepada individu lain.

Isu ini telah dibangkitkan sejak permulaan promosi tersebut, dengan netizen bimbang sekiranya individu yang mempunyai nombor serupa tetapi kod kawasan berbeza turut menerima panggilan tanpa sengaja.

Related post

Leave a Reply