‘Doakan Saya Terus Berbakti Kepada Anak Bangsa’ – Siti Nurhaliza Terharu Dilantik Profesor Adjung UiTM

‘Doakan Saya Terus Berbakti Kepada Anak Bangsa’ – Siti Nurhaliza Terharu Dilantik Profesor Adjung UiTM

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menzahirkan rasa syukur selepas menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut Siti, pengiktirafan tersebut bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi juga tanggungjawab besar untuk terus menyumbang ilmu serta pengalaman kepada pelajar universiti, khususnya dalam bidang keusahawanan.

“Terima kasih kepada UiTM kerana mempercayai saya menjadi sebahagian daripada keluarga besar kalian.

“Setinggi-tinggi rasa terima kasih kepada Yang Berbahagia Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) UiTM Profesor Ts. Dr. Shafinar Hj. Ismail, pengurusan tertinggi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan serta seluruh barisan pentadbir dan warga akademik UiTM,” katanya dalam sebuah hantaran.

Pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu berkata lagi, dirinya amat terharu apabila pengalaman dan usaha yang dilakukan selama ini dihargai serta dijadikan inspirasi oleh warga akademik untuk dikongsikan bersama mahasiswa.

“Siapalah saya untuk berdiri sama tinggi dengan kalian tetapi saya terharu kerana pengalaman dan usaha saya dipandang oleh golongan akademik untuk saya berkongsi sesuatu dengan mahasiswa keusahawanan,” ujarnya.

Siti turut menegaskan bahawa kejayaan seseorang bukan semata-mata bergantung pada kelulusan akademik, sebaliknya pengalaman hidup dan perjalanan kerjaya juga mampu menjadi sumber ilmu yang berharga.

“Sijil saya adalah proses pembelajaran, ijazah saya hanyalah pengalaman. Namun sezarah ilmu yang kita kongsikan akan menjadi jariah yang kekal sampai bila-bila,” katanya.

Menganggap pelantikan itu sebagai satu amanah besar, Siti berharap agar kehadirannya sebagai Profesor Adjung dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

“Alhamdulillah. Profesor Adjung ini adalah komitmen dan tanggungjawab. Doakan saya untuk dapat terus berbakti kepada anak bangsa,” katanya lagi.

Related post

Leave a Reply