Anna Jobling Nafi Sombong – ‘Kalau Jumpa Tegurlah, Saya Okay’

Anna Jobling Nafi Sombong – ‘Kalau Jumpa Tegurlah, Saya Okay’

Pelakon, Anna Jobling, 25, menepis tanggapan segelintir pihak yang menganggap dia bersikap sombong hanya kerana ekspresi wajahnya yang sering kelihatan serius, terutama selepas membintangi beberapa filem bergenre seram.

Menurut pemilik nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, tidak wajar untuk peminat menilai peribadinya semata-mata berdasarkan karakter yang dibawakan di layar perak.

“Mereka kata saya ada muka hantu, tapi saya anggap itu sebagai pujian. Kadang-kadang bila saya tak senyum, orang cakap saya sombong.

“Sebenarnya tidak, mungkin sebab reaksi muka saya saja. Kalau jumpa saya di luar, tegurlah, saya memang okay dan mesra,” katanya.

Anna turut berkongsi bahawa rezekinya dalam bidang lakonan semakin luas apabila kini menerima tawaran membintangi filem sebagai pelakon utama untuk sebuah produksi dari Indonesia.

Mengakui jadualnya kini padat dengan pelbagai komitmen kerja, Anna bagaimanapun tidak merancang untuk berehat buat masa ini kerana mahu memanfaatkan setiap peluang yang datang.

“Kadang-kadang selepas habis satu projek, saya rancang nak rehat, tapi tiba-tiba datang tawaran menarik. Rasa sayang nak tolak, jadi rehat pun tangguh dulu.

“Lagipun saya masih muda dan bertenaga, jadi ambil saja kerja. Pernah juga terbawa emosi di luar set, tapi saya selalu ingatkan diri walaupun penat dan rasa nak mengeluh, tetap kena bersyukur.

Dalam masa yang sama, bekas program Dewi Remaja 2019 itu tidak menafikan wujud segelintir pihak yang mempersoalkan peluang dan rezeki yang diperolehnya dalam industri seni.

“Ada juga yang tanya kenapa saya yang selalu dapat peluang, kenapa muka saya saja. Bagi saya, itu semua rezeki. Saya tak pernah iri hati dengan rezeki orang lain sebab saya percaya setiap orang ada bahagian masing-masing,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Anna sebelum ini pernah membintangi tiga filem produksi Indonesia iaitu Laut Tengah, Sukma dan Lembayung, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon muda Malaysia yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Related post

Leave a Reply