Sahronizam Noor Jalani Pembedahan Buang Tumor Di Belakang Badan

Sahronizam Noor Jalani Pembedahan Buang Tumor Di Belakang Badan

Pelakon, Sahronizam Noor menjalani pembedahan bagi membuang tumor di bahagian kanan belakang badannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Rabu.

Menurut Sahronizam, beberapa ujian yang dilakukan sebelum ini masih belum memberikan keputusan muktamad mengenai tahap sebenar tumor yang dikesan sejak beberapa bulan lalu.

“Doktor masih belum dapat memastikan keadaannya walaupun saya sudah melalui beberapa ujian termasuk pengimejan resonan magnetik (MRI), imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) serta biopsi.

“Doktor menjalankan pembedahan besar untuk mengeluarkan tumor berkenaan, sebelum ia dihantar ke makmal bagi menentukan sama ada ia hanya tumor biasa atau bersifat kanser.

“Selepas keputusan diperoleh, barulah doktor akan menetapkan rawatan susulan,” katanya seperti dilapor BH.

Setakat ini, aktor berkenaan belum berkongsi perkembangan lanjut mengenai pembedahan yang dijalankan.

Sementara itu, isteri Sahronizam iaitu penyanyi dan pelakon, Safura Yaakob menerusi hantaran di Instagram Story mendoakan suaminya diberi kekuatan.

“Saya tahu awak kuat. Kita ada Allah yang akan sentiasa membantu,” tulisnya dalam perkongsian tersebut.

Terdahulu, Sahronizam memaklumkan dia menghidap tumor di bahagian kanan belakang badan namun belum mendapat pengesahan rasmi sama ada benign (bukan kanser) atau malignan (kanser).

Dalam pada itu, Safura sebelum ini ada berkongsi di Instagram mengenai keadaan suaminya yang perlu menjalani beberapa siri pemeriksaan kesihatan.

Walaupun diuji dengan masalah kesihatan, Sahronizam tetap positif dan terus komited terhadap kerjaya seni seperti biasa.

Related post

Leave a Reply