Tular Rakaman Pelajar Sekolah Di Dataran Pahlawan, Netizen Minta Jangan Terus Hukum Tanpa Usul Periksa
Sebuah video yang dirakam di Dataran Pahlawan, Melaka telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia apabila dua pelajar sekolah dilihat berada dalam situasi yang mencurigakan.
Klip berdurasi 15 saat itu menunjukkan seorang pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah berwarna putih sedang baring di atas rumput di kawasan padang awam.
Seorang pelajar perempuan bertudung dan berpakaian lengkap seragam sekolah pula kelihatan membongkok ke arahnya sambil berbual.
Sudut rakaman berkenaan membuatkan situasi itu kelihatan seolah-olah pasangan tersebut berkelakuan tidak sopan.
Video itu dengan pantas tular di media sosial, menarik perhatian ramai dan mengundang pelbagai komen serta reaksi.
Sebilangan warganet mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan, menyatakan bahawa tingkah laku sedemikian tidak sepatutnya berlaku di tempat awam.
Namun, ada juga yang menyuarakan pandangan lebih berhati-hati, dengan mengatakan sudut rakaman mungkin mengelirukan dan menyeru agar orang ramai tidak cepat membuat kesimpulan sebelum mengetahui konteks sebenar.
Menurut laporan MalaysiaGazette, pihak mereka sedang menyemak dengan pihak berkuasa bagi mengesahkan masa dan tarikh sebenar kejadian, memandangkan klip berkenaan tidak disertakan cap masa.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut.
Sumber & foto: MalaysiaGazette
