Kembali Berumah Tangga? Irma Hasmie – ‘Yang Tahu, Tahulah’
Didakwa kononnya kini sudah kembali bergelar isteri, pelakon dan pengacara Irma Hasmie, 43, memilih untuk tidak mengulas mengenai status peribadinya.
Menurut Irma, isu membabitkan kehidupan peribadi bukan sesuatu yang perlu dijelaskan kepada umum kerana apa sahaja kenyataan yang diberikan berisiko mengundang pelbagai tafsiran.
“Saya mohon maaf, hal peribadi saya lebih selesa untuk tidak menjawab. Saya tahu ramai yang bertanya, sama ada secara langsung atau melalui WhatsApp, tetapi pendirian saya tetap sama. Bagi saya, lebih baik begini,” katanya.
Irma menegaskan, biarpun dia menjelaskan perkara sebenar sekalipun, pasti akan menjadi bahan bualan masyarakat.
“Saya rasa kalau saya beritahu pun, orang tetap akan bercakap. Jadi, lebih baik saya berdiam diri. Soal status ini bukan sesuatu yang perlu dihebahkan. Cukuplah mereka yang tahu, tahu,” ujarnya lagi.
Menjelaskan keputusannya untuk berdiam diri, Irma berkata dia mahu mengelakkan salah tafsir dan menjaga hati ramai pihak, terutama keluarganya.
“Saya takut bila bercakap nanti lain pula tafsirannya. Saya bukan hanya fikirkan diri sendiri, tapi juga anak-anak dan keluarga besar saya.
“Emak dan ayah sudah tiada, jadi saya kena fikir tentang ibu, pakcik, makcik dan keluarga sebelah sana. Saya tak mahu mereka terbeban dengan isu peribadi saya,” katanya lagi.
Tambah Irma, dalam dunia penuh spekulasi kini, pilihan terbaik adalah menjaga tutur kata dan mengelakkan fitnah.
“Apa pun yang kita buat, orang tetap akan bercakap. Jadi lebih baik saya kawal percakapan sendiri,” jelasnya.
Untuk rekod, Irma pernah mendirikan rumah tangga dengan Redza Syah Azmeer pada tahun 2012. Namun, pasangan itu berpisah pada Disember 2023 sebelum memaklumkannya kepada umum enam bulan kemudian.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syah Irfhan, 12, dan Irma Nur Naylie, 11, yang kini berada di bawah jagaan Irma.
