JPJ Keluarkan 3,910 Saman Terhadap Kenderaan Singapura Gagal Pasang RFID, Kutip RM1.17 Juta

JPJ Keluarkan 3,910 Saman Terhadap Kenderaan Singapura Gagal Pasang RFID, Kutip RM1.17 Juta

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 3,910 saman terhadap kenderaan persendirian berdaftar Singapura yang masuk ke Malaysia tanpa memasang atau mengaktifkan tag RFID.

Jumlah kompaun yang telah berjaya dikutip setakat ini mencecah RM1.17 juta.

Pemandu yang ditahan dikenakan kompaun RM300 bagi setiap kesalahan, dan JPJ turut memberi amaran bahawa kenderaan mereka boleh ditahan sekiranya gagal menjelaskan bayaran saman.

Menurut laporan Kosmo!, JPJ turut mengeluarkan 1,269 notis peringatan kepada kenderaan milik syarikat berpengkalan di Singapura yang masih berdegil untuk memasang tag RFID pada kenderaan mereka.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata bahawa mereka yang telah menerima saman perlu membuat bayaran dengan segera, manakala penerima notis peringatan dinasihatkan memasang RFID secepat mungkin sebelum dikenakan tindakan lanjut.

Pemeriksaan tersebut dijalankan di tiga lokasi di luar kawasan CIQ di Johor Bahru, iaitu di Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar dan Taman Daya.

JPJ juga menggesa pemilik kenderaan syarikat dari Singapura agar memandang serius notis yang dikeluarkan sekiranya tidak mahu menerima hukuman lebih berat pada kunjungan seterusnya ke Malaysia.

Related post

Leave a Reply