Azlan Typewriter & Lan Solo Bawa Anak Atas Pentas

Azlan Typewriter & Lan Solo Bawa Anak Atas Pentas

Ada sesuatu yang menarik tatkala menyatukan dua nama besar ini di atas satu pentas sementelah masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Membuka tirai 2026, sebuah kolaborasi pemuzik terbaik bakal menampilkan Kristal X and Azlan & The Typewriter sempena Konsert Rockolusi Kuasa Dua di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari hadapan.

Inilah informasi paling penting yang patut masuk dalam kalender anda jika lagu-lagu seperti Memburu Impian, Luahan Hati, Suatu Kenangan dan Seragam Hitam daripada Kristal X yang sudah cukup lama tidak dipersembahkan secara langsung.

Begitu juga buat penggemar Azlan & The Typewriter yang lagunya, Jangan khianati Aku menjadi fenomena sampai ke Indonesia, datang serta nikmati sendiri karya ini daripada vokalis dengan kemampuan menyanyi dalam nada tinggi ini secara langsung.

Dengan reputasi dan kumpulan peminat yang telah lama serta tidak pernah meninggalkan Kristal X juga Azlan & The Typewriter, Republic Mokhmah Records selaku penganjur merasakan konsert yang dianjurkan nanti  adalah inisiatif terbaik mengembalikan semarak karya kedua-dua pemuzik yang cukup berprolifik ini.

“Kristal X adalah sebuah kugiran legenda yang pernah lahir dalam belantika muzik tanah air. Bayangkan sewaktu penubuhannya, Kristal X masih remaja dan telah mendapat khidmat karyawan belakang tabir yang hebat.

“Mereka menghasilkan lagu-lagu yang malar segar seperti Seragam Hitam dan ‘menghidupkan semula’ Memburu Impian melalui penampilan serta persembahan yang energetik,” kata Musa dari Republic Mokhmah Records.

Jelasnya mereka mahu mengembalikan nostalgia itu serta mempersembahkan betapa Kristal sudah menjadi ‘semakin ganas’ seiring kedesaan mereka dalam industri.

Lebih mengujakan apabila vokalis yang sangat disegani Azlan, bersetuju untuk tampil dalam Rockolusi Kuasa Dua: Kristal X and Azlan The Typewriter.

“Untuk generasi milenial, Azlan adalah salah seorang vokalis terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia dan buat generasi masa kini.

“Selain Jangan Khianati Aku, saya akan pastikan anda lebih jatuh cinta dengan beliau menerusi karya-karya berkualiti yang pernah dimiliki sepanjang karier,” ujar Musa lagi.

Kedua-dua kumpulan ini menjanjikan persembahan terbaik nanti.

Kolaborasi Kristal X and Azlan The Typewriter juga kata Musa adalah bukti dua pemuzik legenda ini tidak pernah dilupakan dengan lambakan konsert yang diadakan sepanjang tahun.

“Saya amat berbesar hati menerima lamaran Republic Mokhmah Records berkongsi pentas dengan Kristal X kerana reputasi dan ikut membesar bersama karya mereka.

“Kristal X and Azlan & The Typewriter juga akan menjadi saksi kami ada dan kami ‘hidup’. Inilah waktu untuk anda keluar dana menikmati Kristal X and Azlan & The Typewriter secara langsung secara eksklusif setelah sekian lama menanti konsert daripada kami,” ujar Azlan.

Kelainan yang bakal dibawakan dalam konsert kali ini bilamana akan melibatkan kumpulan koir Noghori Arts School Voice Ensemble.

Apa yang menarik, kumpulan koir ini adalah juara peringkat negeri dan pemenang ke-empat peringkat kebangsaan.

Selain itu, dalam kumpulan koir ini ianya dianggotai oleh anak kedua-dua vokalis Kristal X Azlan and The Typewriter iaitu anak kepada Lan Solo dan Azlan menjadikan konsert tersebut akan lebih menarik.

Mereka juga akan sama-sama membuat persembahan dalam konsert berskala besar ini dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Oleh yang demikian, peminat boleh membeli tiket mengikut kategori bermula RM168, RM188, RM248, RM348 dan seterusnya Royal Box, RM8000 untuk 10 orang di https://www.ilassotickets.com . 

Related post

Leave a Reply