
Nubhan Nafi Wujud Orang Ketiga Punca Ingin Berpisah, Isteri Dedah Pernah Diceraikan Sewaktu Hamil Anak Sulung
Penyanyi dan usahawan, Nubhan menafikan dakwaan kononnya wujud orang ketiga sebagai punca keretakan rumah tangganya bersama isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Pemilik nama penuh Ahmad Nubhan Ahmad, berkata, segala khabar angin yang bertebaran di media sosial hanyalah spekulasi tidak berasas dan berharap masyarakat tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Saya ingin jelaskan, tiada orang ketiga dalam hal ini. Itu tidak benar sama sekali. Ramai mungkin membuat andaian sendiri, tapi saya harap semua dapat menghormati proses mahkamah dan jangan menambah cerita yang tidak betul,” katanya.
Sementara itu, Dr Afifah turut menegaskan dakwaan mengenai kehadiran pihak ketiga hanyalah salah faham, terutama apabila insiden pertama melibatkan perceraian berlaku ketika dia sedang mengandung anak sulung mereka enam bulan.
Menurutnya, salah faham dan tekanan emosi mungkin menjadi punca utama pergolakan dalam rumah tangga mereka, bukan disebabkan kehadiran individu lain.
“Ketika mengandung anak pertama di usia enam bulan, saya pernah diceraikan. Waktu itu saya sedang sarat dan mudah terganggu emosi. Kadang-kadang rumah tangga ini ada pasang surutnya, tapi saya masih sayangkan keluarga saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nubhan mengakui keputusan untuk berpisah kali ini dibuat atas persetujuan bersama selepas beberapa perselisihan faham yang tidak dapat dielakkan.
“Tiada siapa pun yang mahukan perkara seperti ini berlaku. Kami cuba sebaik mungkin, tapi mungkin ini jalan terbaik. Saya reda dengan ketentuan Allah. Banyak hati yang perlu dijaga, jadi biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Dr Afifah menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada mahkamah mengenai hala tuju hubungan mereka.
“Sebab Nubhan yang failkan di mahkamah, jadi kita tunggu keputusan nanti,” katanya ringkas sambil enggan mengulas mengenai soal nafkah anak-anak.
Dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Khamis, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan seterusnya.
Nubhan hadir sebagai plaintif, diwakili peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala Dr Afifah diwakili oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Menurut Akberdin, pasangan itu pernah melalui episod serupa pada tahun 2017 apabila Nubhan melafazkan cerai namun kembali rujuk dalam tempoh idah.
Permohonan pengesahan lafaz cerai kali ini difailkan selepas insiden yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Perceraian kali ini difahamkan berlaku secara baik tanpa konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan berkenaan. Sejak itu, mereka tidak lagi tinggal sebumbung.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi, mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3 tahun.