
Rakyat Malaysia Dengan Lesen Memandu Singapura Layak Mohon Subsidi Petrol BUDI95 Mulai 16 Oktober
Rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu Singapura (LMS) kini boleh memohon subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula 16 Oktober 2025.
Dalam kenyataan baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan satu portal khas telah disediakan bagi membolehkan pemohon yang layak menghantar permohonan mereka melalui pautan budi95lesensg.jpj.gov.my.
Menurut JPJ, permohonan akan dipertimbangkan berdasarkan kriteria termasuklah pemohon mestilah warganegara Malaysia, mempunyai lesen memandu Singapura (LMS) yang sah dan memegang permit kerja sah di Singapura.
Di bawah peraturan sedia ada, pemandu hanya dibenarkan memegang satu lesen memandu sama ada dari Malaysia atau Singapura.
Oleh sebab itu, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, khususnya dalam sektor pemanduan seperti bas, pengangkutan dan operasi terpaksa menyerahkan lesen memandu Malaysia mereka untuk mendapatkan lesen Singapura.
Namun begitu, sebahagian daripada mereka masih menetap di Malaysia dan memiliki kenderaan berdaftar di negara ini, menyebabkan timbul komplikasi ketika memohon subsidi petrol BUDI95.
Bagi membantu golongan ini, JPJ telah mewujudkan portal khas supaya permohonan mereka dapat disemak oleh Kementerian Kewangan (MoF) bagi menentukan kelayakan.
Pemohon boleh menyemak status permohonan masing-masing melalui laman web rasmi BUDI95 selepas 14 hari dari tarikh permohonan dihantar.
Bagi rakyat Malaysia yang pernah memegang lesen Singapura tetapi tidak lagi bekerja di negara itu, mereka boleh memohon semula lesen memandu Malaysia (LMM) dengan syarat lesen Singapura dibatalkan terlebih dahulu mengikut prosedur yang ditetapkan di sana.
Selepas pembatalan disahkan, mereka boleh hadir ke mana-mana cawangan JPJ untuk memohon lesen baharu, tertakluk kepada tiada sekatan atau penggantungan daripada pihak berkuasa Singapura.
JPJ menegaskan bahawa keputusan akhir setiap permohonan BUDI95 akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan, berdasarkan semua syarat kelayakan di bawah program berkenaan.
Selain itu, JPJ turut menjelaskan bahawa BUDI95 hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia.
Jabatan itu berharap langkah ini dapat memudahkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk turut dipertimbangkan secara adil dalam skim subsidi petrol negara.