
Amylea Azizan Umum Sah Bercerai Dengan Suami
Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, 39, mengejutkan ramai apabila mengesahkan dirinya kini bukan lagi isteri kepada Mohammad Aqbar Mohamad.
Berita itu dikongsikan Amylea menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada malam Ahad.
Meskipun tidak memperincikan tarikh sebenar perpisahan, Amylea memaklumkan dia sudah tamat tempoh idah.
“Berat hati untuk memaklumkan bahawa saya bukan lagi isteri kepada Mohammad Aqbar Mohamad.
“Saya sudah tamat idah dan berada dalam keadaan sejahtera.
“Saya berdoa agar kesedihan seperti yang saya alami ini tidak berulang kepada orang-orang yang saya sayangi,” tulisnya.
Amylea turut menjelaskan perpisahan mereka berlaku secara baik, tanpa sebarang persengketaan selain menegaskan tidak akan mengulas lanjut demi menjaga maruah semua pihak.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak.
“Saya sangat menghormati dan menyayangi ibu mentua serta seluruh keluarga bekas suami. Kami masih berhubung dengan baik,” katanya lagi.
Untuk rekod, Amylea dan Mohammad Aqbar atau mesra disapa Ash mengumumkan berita pernikahan mereka pada November 2023, namun memilih untuk merahsiakan tarikh sebenar akad nikah.