
“Niat Nak Tolong, Dapat Bala: Rumah Disewa Guna Dana Baitulmal Tapi Dipulangkan Dalam Keadaan Jijik
Apa yang sepatutnya menjadi tindakan prihatin bertukar menjadi mimpi ngeri bagi seorang wanita di Cheras, selepas menyewakan apartmen miliknya kepada seorang penyewa yang dikatakan sedang menghadapi masalah kewangan.
Menurut hantaran tular di Threads, seorang pengguna bernama Nazreen berkongsi bahawa kakaknya telah menyewakan apartmen di ibu kota kepada seorang wanita berusia 35 tahun, dengan bayaran sewa ditanggung oleh dana Baitulmal di bawah program bantuan kebajikan.
Namun, selepas penyewa tersebut berpindah keluar setahun kemudian, rumah berkenaan ditinggalkan dalam keadaan kotor, berbau busuk dan rosak teruk.
“Saya tak boleh diam. Kakak saya sewakan rumah sebab nak bantu orang susah, tapi lepas setahun, rumah tu nampak macam rumah terbiar,” tulis Nazreen.
Foto yang dikongsi menunjukkan keadaan rumah yang sangat kotor dan tidak terurus, dengan kesan hitam tebal menutupi setiap sudut, iaitu dari dapur hingga ke bilik tidur dan tandas.
Sinki dipenuhi sisa makanan, dinding penuh contengan dan kesan kotoran manakala mangkuk tandas bertukar warna akibat kencing kering serta kipas siling pula bersalut habuk hitam.
“Lantai berdebu, dinding penuh contengan, dapur berbau busuk, tandas jijik. Banyak barang rosak, paip air pecah, sinki tersumbat dengan sisa makanan. Macam rumah ni dah bertahun tak berpenghuni,” katanya lagi.
Nazreen turut memaklumkan yang penyewa tersebut meninggalkan tunggakan bil utiliti lebih RM700, termasuk bil air dan elektrik, hingga menyebabkan bekalan air rumah itu dipotong.
Difahamkan, kakaknya menyerahkan unit tersebut dalam keadaan baru dicat dan dibersihkan sebelum tempoh sewaan bermula. Namun, dia terpaksa menanggung kos mengecat semula selain membaiki paip dan membersihkan rumah yang dipenuhi kekotoran.
“Dia cat dan kemas semua sebelum sewakan. Sekarang nak masuk pun rasa jijik,” luahnya kecewa.
Nazreen menutup hantaran itu dengan peribahasa Melayu: “Biar miskin harta, jangan miskin adab.”
Tambahnya, kejadian ini diharap menjadi peringatan kepada para penyewa, khususnya mereka yang menerima bantuan, agar menghormati harta orang lain dan menjaga kebersihan asas, tidak kira apa pun keadaan kewangan mereka.
Habis.