
Inti Pati Belanjawan 2026
Berikut adalah inti pati Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen hari ini.
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
- Lebih RM700 juta diperuntuk untuk tingkat keupayaan badan penguatkuasa SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC melalui Latihan serta perolehan asset.
- JKDM akan memperkenalkan setem cukai digital, bendung pemalsuan serta ketirisan di pintu masuk negara melalui Centralised Screening Complex CCTV.
- Penyumbang tunai program pencegahan rasuah layak mendapat potongan cukai pendapatan.
- Agenda Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) jimat kos pematuhan sehingga RM1.1 bilion, bantu Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia.
- Pasukan STAR terima RM25 juta untuk usaha pendigitalan menyeluruh urusan rakyat, percepat pembangunan infrastruktur dan inovasi baharu.
- MyDigital ID sasar 15 juta pengguna menjelang akhir 2025, diperluas ke sektor utama seperti kewangan, telekomunikasi, e-dagang dan kesihatan.
- RM76.6 juta disediakan bagi meningkatkan mutu prasarana UTC agar lebih mesra rakyat dan mudah diakses.
- RM31.5 juta disediakan untuk menyelenggara dan mengganti aset-aset kedutaan yang rosak.
- RM220 juta untuk perkasa peranan Institusi Parlimen, RM5 juta bagi memperkasa fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat .
- RM15 juta untuk perluas liputan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM).
- Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini diperingkat libat urus bersama semua pihak berkepentingan.
- Kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna, masukkan elemen Lemon Law bagi melindungi hak pengguna yang sering tertindas.
- Pangkalan data 16.5 juta warganegara yang layak BUDI95 sedang dikemas kini untuk sedia kuota tambahan kepada 23,000 pemilik perahu berdaftar dan lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif.
- Keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.
- RM1 bilion disediakan bagi memperhebat Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat.
- Sejati MADANI diperluas dengan melibatkan anak-anak muda menambah pendapatan komuniti.
- Sasaran Kampung Angkat MADANI ditingkatkan kepada 500 kampung dan Sekolah Angkat MADANI ditingkatkan kepada 1,500 sekolah termasuk penglibatan oleh badan swasta.
- Solar MADANI diperluas ke kampung-kampung seluruh negara.
- Syarikat dan individu berpendapatan perniagaan yang menyumbang untuk program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI, Sejahtera MADANI layak diberi potongan cukai pendapatan.
- RM110 juta untuk Ikhtiar Perkhidmatan Bergerak MADANI bagi memastikan masyarakat desa dan pedalaman mendapat perkhidmatan kerajaan secara terus.
— BERNAMA