
Kecoh Lelaki Curi Seluar Dalam Wanita Di Kepong, Penduduk Diingatkan Berwaspada
Penduduk wanita di kawasan Kepong dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan menjaga barangan peribadi mereka, terutamanya pakaian dalam.
Hal ini susulan penangkapan seorang lelaki yang mencuri pakaian dalam wanita yang dijemur di dua kawasan kejiranan berasingan dan perbuatannya itu turut dirakam jelas oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut laporan China Press, rakaman CCTV menunjukkan lelaki tersebut memanjat pagar salah satu rumah sasarannya sebelum mengambil beberapa helai pakaian dalam yang dijemur di ampaian.
Menurut pembantu kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng iaitu Dic Lai, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di Taman Kepong dan Taman Daya, masing-masing pada 28 September dan 3 Oktober lalu.
“Lelaki itu dilihat berbasikal di sekitar kawasan rumah teres lewat malam sebelum memanjat pagar untuk masuk ke perkarangan rumah.
“Dia kemudian berdiri santai di depan ampaian dan memilih barangan seperti sedang membeli-belah sebelum memanjat pagar untuk keluar semula.
“Dalam kedua-dua kejadian, dia memakai baju kuning dan wajahnya jelas dirakam CCTV. Beberapa penduduk turut mengenal pasti lelaki itu sebagai individu yang sering berkeliaran di kawasan Jinjang Utara,” katanya.
Lai menambah, kejadian kecurian pakaian dalam wanita yang serupa pernah berlaku di Taman Kepong kira-kira enam bulan lalu, namun tidak dapat dipastikan sama ada individu sama terlibat dalam kes tersebut.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap hakikat bahawa pakaian dalam wanita yang dijemur di dalam kawasan rumah kini menjadi sasaran individu bernafsu pelik.
Dua mangsa dilaporkan telah membuat laporan polis, dan Lai menyeru mereka yang mengalami kejadian sama supaya tampil membuat laporan bagi membolehkan pihak polis mengumpul lebih banyak bukti serta mempertingkatkan rondaan di kawasan terlibat.