Nadzmi Adhwa Kecewa Rakan Artis Masih Promosi Jenama Terkait Zionis

Nadzmi Adhwa Kecewa Rakan Artis Masih Promosi Jenama Terkait Zionis

Pelakon, Nadzmi Adhwa, 33, meluahkan rasa kecewa apabila masih ada segelintir rakan artis tempatan yang terus mempromosikan produk dan jenama yang dikaitkan dengan Zionis, meskipun isu boikot sudah lama dibicarakan.

Menurut pemilik nama penuh Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, dalam keadaan genting yang sedang melanda bumi Gaza ketika ini, sepatutnya kesedaran untuk memboikot jenama terbabit perlu lebih utuh dalam diri setiap individu, apatah lagi dalam kalangan selebriti.

“Masih juga tak nak boikot. Tak mati kot kalau tak makan duit ‘isswell’ itu. Berapa sangat tawaran untuk produk mereka yang sampai kawan-kawan tak boleh tolak?

“Sedarkah produk-produk itu menyumbang kepada pembunuhan saudara kita di sana? Sedih tengok kawan-kawan sendiri dalam industri pun tak cakna, tulisnya di platform Threads.

Walaupun kempen boikot telah lama diperjuangkan, masih wujud selebriti yang memilih untuk bekerjasama dengan jenama berkaitan Zionis.

Malah, netizen juga dilihat terus berusaha menyenaraikan nama-nama artis yang masih giat berbuat demikian.

Ketika ini, isteri Nadzmi yang juga pelakon dan aktivis, Ardell Aryana kini berada dalam tahanan tentera Zionis selepas kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertainya ditawan semalam.

Bagaimanapun, Ardell dan semua sukarelawan yang ditahan dilaporkan dalam keadaan baik dan akan dihantar pulang ke tanah air melalui negara ketiga.

Related post

Leave a Reply