Along Cham Sah Cerai Talak Satu
Ikatan perkahwinan pelawak Along Cham dengan isterinya, Afreena Suhaimi, akhirnya terlerai selepas Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, menetapkan talak rajie telah berlaku sebagaimana dilafazkan Along atau nama penuhnya Muhammad Nizamuddin Ahmad pada 18 Jun lalu.
Dalam keputusan Muhamad Nazri, mahkamah turut mengarahkan Afreena untuk menjalani tempoh idah selama tiga kali suci, selain berpesan kepada kedua-duanya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.
Sepanjang prosiding sama, hakim turut mengesahkan tiada berlaku rujuk sebagaimana tercatat dalam dokumen yang difailkan.
Along diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan, manakala Afreena hadir bersama peguam, Mohamad Iezwan Ielias.
Kemelut rumah tangga bermuka apabila Along memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik di Mahkamah Syariah Putrajaya pada 28 Januari lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 April 2023 namun didakwa berlaku lafaz cerai di kediaman mereka di Cyberjaya, Julai tahun sama.
Untuk rekod, Along pernah berkahwin dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini berada dalam jagaan Along.
