Hati Rita Nadira Kini Dimiliki Jejaka Berjambang
Pelakon Rita Nadira, 28, mendedahkan dirinya kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka dan tidak menolak kemungkinan untuk membawa hubungan itu ke fasa lebih serius.
Pemilik nama lengkap Rita Nadira Mohd Ritamurni, bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi identiti lelaki berkenaan, namun mengakui mereka sudah saling mengenali sejak enam bulan lalu.
“Buat masa ini, kami dalam fasa berkawan dan mengenali hati budi. Umur saya pun sudah 28 tahun, jadi kalau ada rezeki dan jodoh, kenapa tidak? Apa yang boleh saya katakan, dia bukan daripada industri seni.
“Cuma saya tidak meletakkan sasaran umur untuk berkahwin. Kalau bercakap soal persediaan bergelar isteri, saya tidak boleh jawab sekarang kerana ia perlu dilalui dahulu,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan pernah menjalinkan hubungan dengan penyanyi rap Chubb-E, Rita memberitahu mereka kini sekadar membawa haluan masing-masing.
“Sekarang kami tidak lagi berkawan rapat seperti dulu, namun masih saling menghormati. Tak perlulah saya jelaskan bila hubungan itu mula renggang,” ujarnya.
Tambah Rita, pengalaman lalu menjadikannya lebih berhati-hati dalam berkongsi hal peribadi kepada umum.
“Dulu saya agak terbuka bercerita mengenai dengan siapa saya berkawan, tapi kini saya lebih memilih untuk menjaga privasi. Mungkin kerana semakin matang, saya lebih berhati-hati sebab kita pun tak tahu orang suka atau tidak,” katanya lagi.
Sebelum ini, Rita pernah dikaitkan dengan gosip percintaan bersama Chubb-E, namun dia menafikan dakwaan tersebut.
Terbaharu, perkongsian foto mesranya bersama seorang jejaka berjambang di media sosial mencuri perhatian ramai hingga menimbulkan spekulasi bahawa mereka sedang bercinta.
