H.O.T. Bakal Beraksi Di Pentas Buat Pertama Kali Semenjak 7 Tahun
Kumpulan K-Pop ikonik generasi pertama, H.O.T., membuat kemunculan dalam program berita JTBC Newsroom baru-baru ini, menjelang pentas reunion pertama mereka dalam tempoh tujuh tahun.
Kelima-lima ahli H.O.T, Moon Hee Joon, Jang Woo Hyuk, Tony An, Kangta dan Lee Jae Won duduk bersama untuk satu temu bual, menandakan penampilan penuh kumpulan mereka yang pertama bersiaran sejak reunion pada 2018.
Menerusi temu bual itu, mereka berkongsi rasa terkejut apabila mendapat tahu yang mereka menjadi inspirasi kepada kumpulan fiksyen Saja Boys dalam animasi popular Netflix, K-Pop: Demon Hunters. Pengarah rancangan itu, Maggie Kang, sebelum ini telah mengesahkan perkara tersebut.
“Saya sangat terkejut. Saya tak sangka pengarah itu akan menyebut kami secara langsung. Saya sangat berterima kasih dan berharap dapat berjumpa dengannya,” ujar Tony An.
Kangta pula secara berseloroh menambah: “Saya ingatkan Cha Eun Woo yang jadi modelnya,” sehingga mencuit ketawa di studio.
H.O.T. akan tampil bersama buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun di ‘2025 Hanteo Music Festival’ pada 22 dan 23 November. Mereka dijadualkan mempersembahkan set persembahan lebih 60 minit pada kedua-dua hari festival tersebut.
Dalam masa sama, kumpulan itu turut membincangkan rancangan untuk ulang tahun ke-30 mereka tahun depan.
“Kami banyak berbincang dan mengumpul pandangan. Kami sangat teruja untuk tahun depan dan malah terfikir untuk mengadakan konsert sekitar sekali setahun,” ujar mereka.
Mengimbau perjalanan karier H.O.T, Moon Hee Joon berkata detik debut merupakan momen yang paling berharga.
“Walaupun sudah 29 tahun lalu, ia masih muncul dalam mimpi saya. Semangat yang kami bawa ketika menari masih terasa begitu jelas,” kongsinya.
H.O.T. yang debut pada tahun 1996 pernah menjadi antara kumpulan idola generasi pertama paling dominan sehingga pembubaran rasmi mereka pada 2001.
Mereka melahirkan banyak lagu mega hit termasuk Descendants of Warriors, Candy, Happiness, We Are The Future, dan Hope. Kumpulan ini pernah bersatu semula pada 2018 menerusi rancangan Infinite Challenge, yang kemudian diikuti dengan konsert solo yang habis terjual.
