
Ameng Syukur A. Aida Sudah Sedarkan Diri
Bekas suami kepada penerbit terkenal Datuk A. Aida, iaitu Ameng menceritakan kembali detik cemas sewaktu mendapat khabar bekas isterinya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, berkata, berita itu diterima daripada anak sulung mereka, Wan Az Aleesa, yang ketika itu menangis teresak-esak sebelum memaklumkan jantung ibunya berhenti berdegup sebanyak lapan kali dan terpaksa diberikan kejutan elektrik atau defibrilasi.
“Saya mulanya ingat anak saya telefon sebab kucingnya mati, sebab sebelum itu dia ada muat naik gambar kucing sakit. Rupa-rupanya dia menangis sebab keadaan mamanya yang kritikal di ICU.
“Katanya doktor sudah minta baca Yasin. Saya terkejut bila diberitahu jantung mamanya berhenti lapan kali. Saya dan isteri terus bergegas ke hospital,” jelas Ameng.
Ketika menziarahi A. Aida, Ameng berkata dia tergamam melihat keadaan bekas isterinya dengan pelbagai wayar berselirat pada tubuh.
“Masa itu saya fikir mungkin dia terkena serangan jantung sebab faktor usia, tapi rupanya ada komplikasi selepas pembedahan lutut.
“Jujurnya, keadaan dia nampak macam tiada harapan. Kami sekeluarga hanya mampu buat solat hajat,” katanya.
Namun begitu, Ameng meluahkan rasa syukur selepas mendapat perkhabaran positif daripada anak mengatakan A. Aida sudah sedarkan diri.
“Alhamdulillah, saya lega bila tahu dia bukan saja sedar tetapi masih mengenali anak-anak. Itu yang paling penting. Walaupun belum boleh bercakap sebab ada tiub dalam mulut, dia sempat mengangguk bila ditanya.
“Insya-Allah kalau tiada apa-apa halangan, dia akan dipindahkan ke wad biasa dalam masa terdekat,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, A. Aida sebelum ini dilaporkan rebah selepas menjalani rawatan fisioterapi. Beliau baru sahaja menjalani pembedahan lutut pada Selasa lalu dan pada awalnya berada dalam keadaan baik sebelum kejadian tersebut berlaku.