
Tunjuk Perkembangan Positif, A. Aida Sudah Sedarkan Diri
Anak kepada penerbit terkenal, Datuk A. Aida iaitu Azeva Natassha berkongsi perkembangan positif mengenai keadaan ibunya yang kini dirawat di hospital.
Azeva berkata A. Aida sudah kembali sedar namun doktor masih belum membenarkannya dipindahkan ke wad biasa kerana memerlukan pemantauan rapi.
“Alhamdulillah, mama sudah sedar cuma perlu dipantau dengan lebih teliti. Doktor juga belum benarkan mama dipindahkan ke wad biasa.
“Mohon maaf kepada rakan-rakan mama kerana pihak hospital tidak membenarkan sebarang lawatan buat masa ini bagi mengelakkan risiko jangkitan,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian sama, Azeva turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan ibunya.
“Saya merayu agar semua terus mendoakan mama agar pulih sepenuhnya. Terima kasih atas sokongan dan doa yang tidak putus-putus,” katanya lagi.
Terdahulu, A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang dilaporkan rebah selepas menjalani sesi fisioterapi di sebuah pusat perubatan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut sahabatnya yang juga Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, A. Aida baru sahaja menjalani pembedahan lutut pada Selasa lalu dan berada dalam keadaan baik, namun secara tiba-tiba rebah selepas rawatan tersebut.