“Sekolah Afwa Al Aafiyah Musnah Dibedil Bom” – Siti Nurhaliza
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi khabar duka apabila sekolah yang dibinanya di Palestin, Sekolah Afwa Al Aafiyah, musnah selepas menjadi sasaran serangan bom tentera Zionis.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Siti, 46, menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
“Akhirnya Israel membedil bangunan Sekolah Afwa Al Aafiyah. Sekolah tersebut kini musnah dibedil bom,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.
Meskipun dilanda kesedihan, Siti tetap memilih untuk bersikap positif dan bertekad meneruskan usaha membantu anak-anak Palestin yang kehilangan tempat belajar.
Dalam satu perkongsian lain, Siti turut menitipkan doa buat keselamatan rakyat Palestin selain memaklumkan sukarelawan yang menguruskan sekolah tersebut bersama ahli keluarga mereka kini sudah berpindah ke kawasan selatan.
“Tidak mengapa, kita pasti bangkit semula. Dr. Mohanad serta keluarganya sudah berpindah ke selatan. Kami akan terus bantu mereka di sana. Doaku sentiasa untuk Gaza,” luahnya lagi.
Sekolah Afwa Al Aafiyah dibangunkan sekitar tahun 2021 melalui Yayasan Nurjiwa, sebuah badan amal yang diasaskan oleh Siti bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
Penubuhan sekolah itu bertujuan memberi ruang pembelajaran kepada kanak-kanak Palestin yang sering terpinggir akibat konflik berpanjangan.
Sebelum ini, dalam satu temu bual, Siti menjelaskan sekolah tersebut tidak pernah terkesan dengan serangan Israel sejak hujung 2023, namun akhirnya musnah dalam serangan terbaru.
