Penyewa Dedah Tuan Rumah Pasang CCTV Dalam Rumah, Tiada Privasi & Diganggu 24 Jam

Penyewa Dedah Tuan Rumah Pasang CCTV Dalam Rumah, Tiada Privasi & Diganggu 24 Jam

Seorang wanita baru-baru ini berkongsi di media sosial mengenai pengalaman menyewa rumah yang disifatkan sebagai mimpi ngeri.

Wanita itu mendakwa tuan rumah memantaunya dan rakan serumah 24 jam sehari melalui CCTV yang dipasang di dalam unit rumah berkenaan.

Menurutnya, tuan rumah didakwa memerhati setiap pergerakan mereka termasuk ketika makan, memasak dan menjemur pakaian, malah kerap menghantar mesej setiap kali nampak perkara yang tidak disukai.

Penyewa itu berkata, tuan rumah pernah mengadu tentang ‘titisan air; yang tertinggal di atas meja walaupun mereka sudah membersihkannya.

Dia juga mendakwa tuan rumah menegur pakaian yang dibasuh melebihi had 7 kilogram mesin basuh selepas menyerap air, dengan alasan ia boleh “merosakkan mesin”.

Malah, tuan rumah kemudiannya menetapkan peraturan ketat mengenai cara penggunaan mesin basuh tersebut.

Penyewa itu turut mendakwa tuan rumah mematikan lampu secara jarak jauh jika dirasakan mereka membazir elektrik, selain kerap menghantar mesej mengingatkan supaya mematikan lampu, walaupun pada jam 3 pagi.

“Dia suruh kami matikan segera. Dan itu bukan kali pertama,” tulisnya.

Penyewa itu juga mendakwa tuan rumah akhirnya mengaku menonton CCTV setiap hari, menyebabkan mereka rasa langsung tidak mempunyai privasi.

Dia turut memberi amaran kepada orang ramai supaya memeriksa unit sewa dengan teliti sebelum menandatangani sebarang perjanjian untuk mengelak situasi sebegitu.

Kisah itu kini tular, dengan ramai netizen menasihatkan penyewa berkenaan keluar segera walaupun masih berbaki sebulan tempoh kontrak sewanya.

Ada juga yang mempersoalkan sama ada tindakan tuan rumah itu sah dari segi undang-undang, kerana dianggap satu bentuk pencerobohan serius terhadap privasi penyewa.

Related post

Leave a Reply