Bawa Watak Pengamal Ajaran Sesat, Ellie Suriaty Banyak Istighfar Di Set

Bawa Watak Pengamal Ajaran Sesat, Ellie Suriaty Banyak Istighfar Di Set

Pelakon Ellie Suriaty, 55, mengakui bukan mudah untuk membawakan watak berat sebagai pengamal ajaran sesat dalam drama terbaharunya, Ibu Aji.

Menurut Ellie, setiap kali sebelum masuk ke set penggambaran, dirinya mengakui dilanda rasa bimbang untuk melontarkan dialog.

“Sebelum mula penggambaran, saya akan berdoa dan banyakkan istighfar. Dari saat saya masuk van ke lokasi sampailah tiba di set, doa itu tak pernah putus.

“Saya mohon Allah permudahkan urusan, lancarkan kata-kata dan penyampaian saya. Kalau tak berdoa, memang rasa tersekat nak sampaikan dialog,” katanya.

Bercerita lanjut, Ellie berharap penonton tidak hanya melihat wataknya dari sudut negatif semata-mata, sebaliknya menilai mesej besar yang cuba disampaikan melalui drama itu.

“Memang ada yang persoalkan kenapa saya bawa watak begini. Tapi sebagai pelakon, watak antagonis adalah cerminan realiti di luar sana.

“Walaupun kisah ini tentang ajaran sesat, niat saya hanyalah untuk beri pengajaran kepada penonton agar tidak mudah terpedaya dengan ‘scammer’ berkedok agama,” jelasnya.

Tambah Ellie, kisah Ibu Aji ada persamaan dengan kes-kes ajaran sesat yang pernah wujud di Malaysia, termasuk yang melibatkan golongan profesional.

“Contohnya ajaran sesat Ayah Pin dulu. Ramai pengikutnya terdiri daripada golongan berpendidikan dan pelbagai lapisan umur.

“Mereka ada agama, tapi masih boleh terpesong. Itu yang cuba kita tunjukkan dalam drama ini,” ujarnya lagi.

Ibu Aji arahan Amor Rizan ini mengangkat kisah benar mengenai seorang wanita yang terjebak dalam ajaran sesat lalu menyebarkan dakyah songsang kepada penduduk kampung.

Dengan lakonan penuh jiwa Ellie, naskhah ini dijangka mencetuskan pelbagai reaksi sekali gus membuka mata masyarakat tentang bahaya ajaran sesat yang masih berleluasa.

Related post

Leave a Reply