Tular Gambar Kahwin Didakwa Sabronzo Dolla?
Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba tular di media sosial gambar perkahwinan berkonsepkan ala Barat yang didakwa membabitkan anggota kumpulan Dolla, Sabronzo, 30, atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli.
Dalam foto tersebut, kelihatan wanita dipercayai Sabronzo anggun mengenakan gaun pengantin putih ‘off-shoulder’, tersenyum di sisi lelaki dipercayai DJ antarabangsa terkenal, Dash Berlin, yang segak dalam sut rona krim.
Tularnya foto berkenaan pantas mencuri perhatian peminat sehingga ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah, meskipun kesahihan majlis berkenaan masih menjadi tanda tanya.
Menurut dakwaan, majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung di pusat peranginan terkenal di Bali, Indonesia, pada Khamis.
Sebelum ini, Sabronzo pernah dikaitkan dengan gosip hubungan cinta bersama seorang DJ luar negara, namun dia lebih selesa mengunci mulut tanpa mengesahkan mahupun menafikan perkara itu.
