
Tiba-Tiba Rebah & Muntah, A Aida Ditempatkan Di ICU
Penerbit, Datuk A Aida ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di ibu kota setelah dilaporkan rebah pada Khamis, rentetan daripada pembedahan lutut yang dijalankan dua hari lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim kepada media tempatan.
“Dua hari lepas, A. Aida ada menjalani pembedahan kedua-dua lututnya. Semalam dia okay saja, sihat tak ada masalah. Bagaimanapun pagi tadi sewaktu melakukan rawatan fisioterapi tiba-tiba dia rebah dan muntah.
“Bila dia muntah, dia macam nak jatuh dan kakitangan hospital membawanya ke katil, tapi tiba-tiba tekanan darahnya menurun. Sementara nak tunggu doktor tiba, dia sudah tidak sedarkan diri,” katanya dipetik Mstar.
Menurut Izhar, A Aida yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada dalam pemantauan doktor dan punca sebenar masalah kesihatan yang dialami belum dikenal pasti.
Terdahulu, Izhar membuat satu hantaran di media sosial miliknya mendedahkan penerbit berkenaan dimasukkan ke ICU dan memohon doa orang ramai agar A Aida diberikan kesembuhan.
“Apa yang saya boleh kongsikan, dia (A. Aida) sekarang ini berada dalam pemantauan doktor. Itu saja yang saya boleh cakap.
“Nak kata stabil atau tidak hanya doktor yang tahu. Cuma sekarang ini dia masih tidak sedar kerana terpaksa ditidurkan.
“Doktor juga belum mengetahui punca sebenar masalah kesihatan yang dialami A. Aida dan tidak boleh buat apa-apa prosedur sebab dia kena ditidurkan dulu kerana keadaanya tidak stabil,” ujarnya.