Kaki Kiri Sathiya Dipotong Akibat Kencing Manis, Keluarga Reda

Kaki Kiri Sathiya Dipotong Akibat Kencing Manis, Keluarga Reda

Demi menyelamatkan nyawa, keluarga reda apabila kaki kiri pelawak veteran Sathiya, 61, terpaksa dipotong dalam pembedahan di Hospital Ampang, Selangor, pada Jumaat lalu.

Anak sulung Sathiya, Amani Sathia berkata, doktor memberi dua pilihan sama ada kaki bapanya dipotong atau diteruskan dengan rawatan.

“Doktor nampak ada bintik hitam pada tapak kaki ayah, jadi ujian X-ray dibuat. Keputusannya menunjukkan darah tidak sampai ke bahagian kaki kerana gangguan saraf, selain sudah dijangkiti kuman.

“Doktor beri dua pilihan, sama ada potong kaki atau cuba rawatan ubat, tapi kesannya tidak dapat dipastikan. Demi keselamatan ayah, kami sekeluarga sepakat memilih pilihan pertama.

“Semua berlaku pantas, ayah masuk hospital Rabu dan terus jalani pembedahan pada Jumaat,” katanya.

Menurut Amani, bapanya itu menerima keputusan tersebut dengan hati yang tenang dan positif.

“Ayah tak pernah tunjuk rasa kecewa atau rendah diri walaupun kehilangan anggota badan. Malah, pagi tadi ayah dah boleh berdiri.

“Selepas ini ayah perlu jalani fisioterapi dan hanya boleh pakai kaki palsu sekitar lapan hingga sembilan bulan lagi,” ujarnya seperti dilapor Berita Harian.

Amani turut mendedahkan bapanya tetap bersemangat untuk terus aktif dalam dunia seni meskipun keadaan fizikalnya kini berbeza.

“Sebelum pembedahan, ayah sempat pesan kalau ada tawaran lakonan, dia tetap nak terima walaupun berkerusi roda. Kami sekeluarga pun tak halang sebab itu minat ayah.

“Selama ini pun suami saya yang hantar ayah ke set penggambaran, jadi rutin itu akan diteruskan,” katanya lagi.

Selain kencing manis, Sathiya juga pernah diserang angin ahmar pada tahun lalu, namun semangatnya untuk meneruskan kerjaya seni tidak pernah luntur.

Related post

Leave a Reply