
Warga Indonesia ‘Cemburu’ Harga Petrol Di Malaysia Murah
Ramai pengguna media sosial di Indonesia meluahkan rasa kagum dan cemburu terhadap keputusan Malaysia menurunkan harga petrol untuk pengguna.
Kebanyakan warga Indonesia menyifatkan rakyat Malaysia sebagai bertuah kerana mendapat harga bahan api yang hanya mampu mereka impikan.
Seorang pengguna menulis: “Orang Malaysia memang sangat beruntung, tidak seperti kami di sini.”
“Malaysia boleh beri petrol murah kepada rakyatnya, kenapa Indonesia tidak boleh buat perkara yang sama?” tulis seorang lagi.
Secara umum, sentimen yang dikongsi mereka ialah rakyat Malaysia bertuah kerana menikmati harga bahan api lebih rendah dan dalam masa sama mempersoalkan mengapa langkah serupa tidak dilaksanakan di Indonesia.
Dalam kenyataan rasminya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar hanya RM1.99 seliter bermula 30 September,
Harga baharu ini boleh didapati dengan hanya menggunakan MyKad di stesen minyak atau melalui aplikasi stesen minyak.
Anggota polis dan tentera akan menerima manfaat lebih awal bermula 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh mengaksesnya mulai 28 September.
Anwar berkata, penurunan harga ini dilakukan ketika ekonomi global tidak menentu, menjadikannya satu keputusan penting untuk negara.
Beliau menggambarkan langkah ini sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah berusaha keras dan sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
“Kejayaan kita hari ini adalah hasil ketabahan rakyat dan semangat pantang menyerah,” kata Anwar.