Dua Wanita Disyaki Warga Singapura Curi Pakaian RM700 Di Johor, Taktik Sama Didakwa Diguna Di Dua Kedai Lain

Dua Wanita Disyaki Warga Singapura Curi Pakaian RM700 Di Johor, Taktik Sama Didakwa Diguna Di Dua Kedai Lain

Sebuah kedai pakaian di Johor Bahru menjadi ‘mangsa kecurian’ selepas dua wanita muda yang menyamar sebagai pelanggan didakwa mencuri beberapa helai pakaian secara terang-terangan pada waktu siang.

Tidak hanya itu, difahamkan ini bukan kali pertama mereka melakukan perbuatan itu, sebaliknya mereka dilaporkan menggunakan taktik sama di dua kedai pakaian lain.

Menurut China Press, rakaman CCTV menunjukkan dua wanita itu memasuki kedai bernama Megumi’s Room di Eco Botanic, Iskandar Puteri pada jam 1.40 tengah hari Jumaat (19 September).

Dalam rakaman tersebut, salah seorang wanita berpura-pura mencuba pakaian di hadapan cermin sebelum membawa sepasang seluar pendek dan sehelai baju ke bilik persalinan. Namun, ketika keluar, dia hanya membawa baju di tangannya.

Rakaman lain pula menunjukkan mereka berpura-pura mencuba pakaian di depan cermin sebelum masuk ke bilik persalinan dan menyembunyikan pakaian ke dalam beg.

Malah, seorang daripada mereka turut membawa pakaian lain ke kaunter dan berpura-pura membuat bayaran menggunakan kad kredit, tanpa menyedari perbuatannya dirakam CCTV.

Kelibat kedua-dua wanita berkenaan dilihat melalui CCTV.

Menurut pemilik kedai itu, laporan polis telah dibuat di Malaysia dan satu lagi akan dibuat di Singapura.

Pemilik kedia menambah, wanita berusia sekitar 25 hingga 28 tahun itu mencuri tujuh helai pakaian bernilai RM700 dari kedainya.

Apabila ditanya apa yang membuatnya percaya wanita tersebut berasal dari Singapura, pemilik kedai berkata mereka mempunyai loghat Singapura, menghubungkan kad kredit mereka ke nombor Singapura dan didapati membawa pasport Singapura selepas siasatan polis.

Pemilik kedai itu juga mendakwa kedua-dua wanita terbabit pernah mencuri pakaian dari dua butik lain di JB, dengan salah satu butik menjadi sasaran sebanyak dua kali.

“Selepas saya berkongsi notis ‘wanted’ tentang dua wanita ini di media sosial, saya dihubungi oleh pemilik kedai lain yang mengalami situasi serupa.

“Salah seorang mendakwa apabila pasangan ini ditangkap sedang mencuri, mereka memberi alasan pakaian itu ‘terjatuh’ ke dalam beg secara tidak sengaja dan memulangkan semula barang curi tersebut, lalu kes itu dianggap selesai.

“Namun, tiada siapa menyangka mereka akan mengulangi perbuatan sama lagi,” katanya.

Related post

Leave a Reply