
Rosé Pecah Rekod Lagi, Klip Video APT. Melepasi 2 Bilion Tontonan Di YouTube
Rosé BLACKPINK sekali lagi mencipta rekod baharu!
Pada 18 September, muzik video untuk lagu APT. telah melepasi 2 bilion tontonan di YouTube.
Selain itu, Rosé turut memecahkan rekod sebagai artis K-Pop terpantas mencapai jumlah tontonan sebanyak 2 bilion. APT., yang dilancarkan lebih awal pada 18 Oktober tahun lalu, mencatat jumlah tersebut hanya dalam 335 hari, durasi terpantas bagi artis Korea.
Rekod sebelumnya dipegang oleh PSY menerusi klip video Gangnam Style, yang mengambil masa 684 hari.
Rosé kini menjadi artis K-Pop pertama yang mempunyai muzik video dengan 2 bilion tontonan baik sebagai ahli kumpulan mahupun secara solo. Bersama BLACKPINK, dia telah mencapai kejayaan ini melalui DDU-DU DDU-DU dan Kill This Love.
APT. merupakan single pertama daripada album solo penuh perdananya, ‘ROSIE yang dilancarkan pada 6 Disember tahun lalu. Ketika dilancarkan, lagu itu meraih Perfect All-Kill (PAK) di carta muzik Korea.
Rosé turut menakluki dua carta muzik pop terbesar dunia. Lagu tersebut debut di No. 8 Billboard Hot 100 dan No. 4 UK Official Singles Chart Top 100.
Dia juga menjadi artis wanita K-Pop pertama menembusi Top 10 Billboard Hot 100, dengan kedudukan tertinggi di No. 3, satu pencapaian terbaik dalam kerjayanya.
Tambahan pula, Rosé disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 Most Influential People in the World 2025 oleh majalah TIME, mengukuhkan statusnya sebagai ikon global.
Terbaharu, pada 7 September, APT. memenangi kategori utama Song of the Year di MTV Video Music Awards 2025, pencapaian pertama buat artis K-Pop.
Sementara itu, Rosé kini sibuk menjayakan ‘DEADLINE’ World Tour bersama BLACKPINK sejak Julai lalu.