AIM24: RIM Akan Semak Dakwaan Yuji Mengenai Lagu Old Love
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan susulan luahan penyanyi dan komposer muda, Yuji, yang terkilan apabila lagu hitnya Old Love bersama Putri Dahlia gagal membawa pulang trofi Lagu Paling Tinggi Distrim pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, Sabtu lalu.
Presiden RIM, Rosmin Hashim, berkata untuk kategori teknikal seperti itu, data penstriman diperoleh secara terus daripada pihak ketiga yang berperanan memantau jumlah strim.
“Bagi kategori lagu dengan tontonan tertinggi di TikTok, maklumat itu diperoleh daripada TikTok sendiri. Begitu juga dengan kategori video muzik paling banyak ditonton, data diperoleh daripada platform video utama.
“Hal yang sama berlaku untuk kategori Lagu Paling Tinggi Distrim. Data berkenaan dibekalkan oleh pembekal maklumat yang sah dan kita telah pun mengajukan pertanyaan lanjut kepada mereka,” jelasnya.
Rosmin menambah, carta mingguan yang dikeluarkan oleh RIM juga bergantung kepada laporan rasmi daripada pelantar digital, sekali gus menafikan wujudnya sebarang manipulasi dalaman.
Terdahulu, Yuji meluahkan rasa pelik apabila lagu Masing Masing nyanyian Ernie Zakri diumum sebagai pemenang kategori tersebut, meskipun hanya mencatat sekitar 12 juta strim di Spotify.
Sebaliknya, Old Love mencatat lebih 360 juta strim di platform sama.
Mengulas lanjut, Rosmin berkata setiap kategori AIM mempunyai syarat kelayakan tertentu yang turut diambil kira sebelum pemenang diputuskan.
“Antaranya termasuk tarikh lagu dipasarkan, status komposer sama ada tempatan atau luar, serta keahlian artis dalam RIM. Semua faktor ini diteliti sebelum sebarang keputusan diumumkan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Rosmin lagi, RIM kini sedang menyemak semula butiran kelayakan berhubung lagu terbabit, dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menjawab kekeliruan yang timbul.
