Robert Redford Meninggal Dunia Dalam Tidur

Robert Redford Meninggal Dunia Dalam Tidur

Dunia hiburan antarabangsa kehilangan seorang lagi legenda apabila aktor, pengarah dan pengasas Festival Filem Sundance, Robert Redford, disahkan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya, pada Selasa.

Perkara itu diumumkan Ketua Eksekutif firma publisiti Rogers & Cowan PMK, Cindi Berger, yang memaklumkan mendiang pergi dengan tenang ditemani keluarga tersayang.

“Beliau menghembuskan nafas terakhir di tempat paling dicintai, dikelilingi insan tersayang,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Berusia 89 tahun, Redford bukan sahaja dikenali sebagai aktor tampan era keemasan Hollywood, malah seorang sutradara yang berjaya mengubah landskap sinema dunia.

Namanya melonjak dengan deretan filem ikonik termasuk Butch Cassidy and the Sundance Kid (1969), The Sting (1973), All the President’s Men (1976) dan Out of Africa (1985).

Sebagai pengarah, kejayaan terbesarnya adalah menerusi Ordinary People (1980) yang meraih empat trofi Oscar, termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Naskhah tersebut turut dianggap karya paling peribadi kerana menyentuh pengalaman hidupnya yang kehilangan ibu sewaktu remaja.

Selain itu, sumbangan Redford melangkaui layar perak apabila dia menubuhkan Sundance Institute pada 1981, seterusnya melahirkan Festival Filem Sundance yang kini menjadi pentas utama sinema bebas dunia.

Daripada platform inilah lahirnya nama-nama besar seperti Quentin Tarantino, Darren Aronofsky dan Ava DuVernay. Namun, Redford tidak pernah segan menegur komersialisasi berlebihan yang menurutnya menjejaskan roh asal festival tersebut.

Redford pernah berkahwin dengan Lola Van Wagenen pada 1958 dan dikurniakan empat cahaya mata sebelum bercerai pada 1985. Pada 2009, dia berkahwin dengan pelukis asal Jerman, Sibylle Szaggars, yang setia di sisinya sehingga ke akhir hayat.

Mendiang meninggalkan balu, dua anak perempuan, tujuh cucu serta legasi seni yang akan terus mewarnai sejarah perfileman dunia.

Related post

Leave a Reply