Amin Idris Bimbang Semakin Ramai Wanita Tanggal Tudung
Pendakwah bebas, Amin Idris menyuarakan rasa bimbang terhadap kecenderungan segelintir wanita yang memilih untuk menanggalkan hijab dengan pelbagai alasan sejak kebelakangan ini.
Menurut Amin, keadaan tersebut seakan berbeza dengan fenomena positif yang pernah berlaku suatu ketika dahulu apabila pelakon dan aktivis, Wardina Safiyyah menjadi antara individu berpengaruh yang menggalakkan lebih ramai wanita berhijab.
“Ketika Wardina mula berhijab, masyarakat begitu terinspirasi dan kita berasa bangga apabila ramai selebriti wanita mengikut jejak langkah itu.
“Tapi kini agak menyedihkan kerana semakin ramai pula yang sebaliknya, memilih untuk membuka tudung,” tulisnya menerusi Instagram.
Amin menambah, keistiqamahan seseorang boleh tergugat sekiranya niat berhijab tidak disandarkan kepada ketaatan kepada Allah SWT.
“Semoga Allah kurniakan hidayah kepada mereka,” ujarnya lagi
Begitu pun, Amin menegaskan perkongsian tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus.
