
Park Bom Cetus Kebimbangan Sekali Lagi, Muat Naik Foto & Tag Lee Min Ho
Baru-baru ini, anggota kumpulan 2NE1, Park Bom memuat naik beberapa foto baharu di akaun peribadinya dengan kapsyen: “Park Bom. On the street.”
Dalam gambar berkenaan, Park Bom kelihatan berjalan-jalan dengan mengenakan top hitam tanpa lengan yang dipadankan dengan rantai rosari. Rambutnya yang sedikit kusut menambah pesona semula jadi.
Namun, apa yang menarik perhatian bukanlah sekadar gambar itu, tetapi hakikat bahawa Park Bom sekali lagi menandai (tag) pelakon Lee Min Ho dalam hantaran tersebut.
September tahun lalu, Park Bom pernah mencetuskan khabar angin percintaan dengan Lee Min Ho apabila dia memuat naik foto pelakon itu dan menggelarnya sebagai ‘suami sebenar’ dirinya.
Pada ketika itu, agensinya menafikan perkara tersebut dan menyifatkan dia hanya sekadar peminat. Namun, awal tahun ini, dia sekali lagi menegaskan dakwaan itu dengan memuat naik gambar dirinya bersama Lee Min Ho di akaun kedua dengan kenyataan sama.
Walaupun agensinya berulang kali menjelaskan bahawa ia hanyalah tindakan dia sebagai peminat, namun Park Bom tetap bertegas sebaliknya. Malah, dia mendakwa beberapa hantaran telah dipadam oleh pihak syarikat tanpa kerelaannya.
Pihak Lee Min Ho pula menafikan dengan tegas, menyatakan bahawa tiada sebarang hubungan peribadi dengan Park Bom dan khabar angin itu tidak berasas.
Selepas itu, Park Bom terus menimbulkan kebimbangan dengan kenyataan-kenyataan mengelirukan, antaranya pernah mengatakan dia masih bujang tetapi juga menyarankan kononnya Lee Min Ho yang memintanya membuat dakwaan tersebut.
Walaupun Park Bom sempat kembali melakukan persembahan bersama 2NE1, tetapi pada Ogos lalu dia mengumumkan untuk berehat sementara kerana masalah kesihatan.
Kumpulan itu kini meneruskan promosi sebagai trio (CL, Dara, dan Minzy), manakala Park Bom masih berhubung dengan peminat melalui media sosial.
Dengan hantaran terbarunya yang sekali lagi menandai Lee Min Ho, peminat meluahkan kebimbangan semula dengan komen seperti, “Adakah kesihatannya benar-benar baik?” dan “Ini kelihatan membimbangkan.”