
Polis Buka Kertas Siasatan Selepas Video Keluarga Guna Lambang Diraja Untuk Majlis Aqiqah Tular
Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan sebuah video memaparkan sebuah keluarga berpakaian serba kuning lengkap bertengkolok menyerupai gaya istiadat kerabat diraja dalam satu majlis aqiqah, baru-baru ini, yang dipercayai menyalahgunakan lambang diraja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar, berkata siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain kes berkenaan, USJT turut menyiasat dua lagi insiden melibatkan hantaran berunsur hasutan, penghinaan dan permusuhan di aplikasi TikTok.
“Kes pertama melibatkan seorang bekas penjawat awam menggunakan akaun TikTok @zamanharris82 yang membuat komen berunsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
“Kes kedua pula membabitkan seorang lelaki dengan akaun TikTok @no.wad yang membuat hantaran mempertikai tindakan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru, di ibu negara. Hantaran itu dikhuatiri boleh mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Kumar, ketiga-tiga kes ini jelas menunjukkan penyalahgunaan media sosial dan kandungan digital yang berpotensi menimbulkan hasutan, penghinaan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.
“PDRM menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu terbabit. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial.